PASIR SALAK: Nelayan darat di Kampung Sungai Buaya di sini dilanda kebimbangan selepas kejadian seorang lelaki cedera parah akibat diserang seekor buaya ketika menjala ikan di sungai kampung berkenaan baru-baru ini.
Serangan itu dianggap luar biasa kerana reptilia tersebut sebelum ini tidak pernah mencederakan manusia walaupun diketahui mendiami sungai berkenaan sejak sekian lama.
Ketua Kampung Sungai Buaya, Samad Din, 48, berkata, kejadian itu mencetuskan keresahan nelayan darat yang bergantung sepenuhnya kepada hasil sungai untuk menyara keluarga.
“Tidak pernah buaya menyerang manusia di sungai ini. Sudah tentu nelayan risau kerana sungai ini punca pendapatan mereka. Walaupun bimbang, mereka tetap perlu turun menangkap ikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Samad turut menasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati serta peka dengan pergerakan reptilia itu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Salah seorang nelayan, Abdul Rahim Ali, 54, mengakui insiden itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan mereka namun rutin turun ke sungai terpaksa diteruskan demi kelangsungan hidup.
“Kami memang tahu sungai ini ada buaya, tetapi tidak pernah ada kes ia menyerang manusia. Saya harap pihak berkuasa dapat memantau kehadiran reptilia ini supaya keselamatan nelayan terjamin. Buat pemancing jangan terlalu dekat dengan tebing,” katanya.-UTUSAN.










