SYDNEY: Meta mula mengeluarkan kanak-kanak Australia di bawah umur 16 tahun daripada platform Instagram, Facebook dan Threads, seminggu sebelum larangan rasmi media sosial untuk remaja bermula.
Gergasi teknologi itu mengumumkan bulan lalu, ia telah mula memaklumkan kepada pengguna berumur antara 13 hingga 15 tahun berhubung langkah penutupan akaun mereka mulai 4 Disember.
Dianggarkan kira-kira 150,000 pengguna Facebook dan 350,000 akaun Instagram akan terjejas. Threads, yang berfungsi seperti X, hanya boleh diakses melalui akaun Instagram.
Larangan media sosial pertama di dunia oleh Australia akan bermula pada 10 Disember, dengan syarikat berdepan denda sehingga AS$49.5 juta (RM203.6 juta) jika gagal mengambil langkah munasabah untuk menghalang individu bawah 16 tahun daripada mempunyai akaun.
Seorang jurucakap Meta memberitahu BBC pada Khamis, ‘pematuhan terhadap undang-undang akan menjadi proses berterusan dan berlapis’.
“Walaupun Meta komited untuk mematuhi undang-undang, kami percaya satu pendekatan yang lebih berkesan, seragam dan menjaga privasi diperlukan,” katanya.
Kerajaan sepatutnya mewajibkan gedung aplikasi untuk mengesahkan umur pengguna ketika mereka memuat turun aplikasi dan mendapatkan kebenaran ibu bapa bagi pengguna bawah 16 tahun, kata Meta.
Ini kerana, langkah itu akan menghapuskan keperluan untuk remaja mengesahkan umur mereka pada aplikasi yang berbeza.
Bulan lalu, Meta berkata, pengguna yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan dapat memuat turun dan menyimpan hantaran, video dan mesej mereka sebelum akaun dinyahaktifkan.
Remaja yang percaya mereka tersilap dikategorikan sebagai bawah 16 tahun boleh meminta semakan dan menghantar ‘swafoto video’ untuk mengesahkan umur.
Mereka juga boleh menyediakan lesen memandu atau pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan.
Platform Meta termasuk Instagram, Facebook dan Threads akan turut terjejas oleh larangan tersebut, bersama beberapa laman sosial lain seperti YouTube, X, TikTok, Snapchat, Reddit, Kick dan Twitch.
Kerajaan Australia berkata, langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada ancaman media sosial, namun pengkritik berpendapat tindakan tersebut mungkin mengasingkan kumpulan tertentu yang bergantung kepada platform untuk berhubung, serta mendorong kanak-kanak ke ruang internet yang kurang dipantau.
Menteri Komunikasi, Anika Wells pada Rabu berkata, beliau menjangkakan ada masalah awal dalam beberapa hari dan minggu pertama pelaksanaan larangan itu, namun menegaskan ia adalah langkah melindungi Generasi Alpha, mereka berumur bawah 15 tahun, dan generasi akan datang.
“Dengan satu undang-undang, kita boleh melindungi Generasi Alpha daripada terperangkap dalam ‘purgatory’ oleh algoritma pemangsa yang digambarkan oleh penciptanya sendiri sebagai ‘kokain tingkah laku’,” kata Wells.- BBC









