SHAH ALAM: Sekalipun mempunyai kelainan upaya, Madiha Tihani Mahadi membuktikan bahawa ianya bukan halangan untuk beliau meraih ijazah seperti mana graduan lain.
Madiha Tihani, yang menghidap Cerebral Palsy Hemiplegia yang menjejaskan saraf kanan badannya sejak lahir lagi menamatkan pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal bersempena Istiadat Konvokesyen ke 103 UiTM., baru-baru ini
Menurutnya perjalanan untuk menamatkan pengajiannya menjadi sangat sukar apabila terdapat segelintir rakan kelasnya yang tidak memahami keadaan beliau, lebih-lebih lagi kerana keadaan fizikal beliau tidak kelihatan ketara seperti orang OKU yang lain.
“Alhamdulillah bersyukur sangat pensyarah semua faham keadaan saya. Dan yang paling banyak memberikan semangat dan sentiasa mendorong saya untuk buat yang terbaik tak lain tak bukan, ibu dan bapa saya sendiri,” katanya.
Madiha juga berkata bahawa antara cabaran lain yang beliau hadapi berpunca daripada keadaan fizikalnya, di mana beliau perlu berjalan jauh dan mengambil masa untuk sampai ke fakulti.
“Untuk ke kelas, saya perlu berjalan jauh dan dalam perjalanan tersebut terdapat banyak laluan berbukit dan tangga yang menjadi punca saya cepat rasa penat dan lelah.
“Bukan itu sahaja, saya tidak berkeupayaan untuk naik tangga tanpa bantuan kawan-kawan sebab saya takut dan risau terjatuh.
“Jadi apabila pergi ke kelas berseorangan, saya perlu meminta bantuan orang lain untuk membantu saya naik tangga,” tambah beliau.
Namun, perkara ini tidak menghalang beliau untuk menamatkan pembelajarannya, malah, menjadi pembakar semangat untuk beliau berusaha dengan lebih lagi demi mencapai kejayaan, selain berhasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana jika berpeluang.
“Saya harap cerita saya dapat menjadi pembuka mata kepada orang lain untuk sentiasa mengejar impian kita walaupun banyak halangan yang dihadapi. Ingatlah penat lelah ibu bapa untuk membesarkan kita sampai ke tahap ini,” katanya.
Beliau juga berharap dapat menyebarkan mesej positif kepada pelajar OKU yang lain dan berpesan supaya jangan mudah putus asa serta mengabaikan kata-kata negatif daripada orang lain. – UTUSAN










