KUALA LUMPUR: Usul membabitkan penggantungan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) selama enam bulan daripada menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat, ditangguhkan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat hari ini.
“Kita memahami selepas kita dengar hujah daripada semua (Ahli Parlimen) dan menimbang hujah-hujah diberikan, yang diutarakan, maka kita bagi pihak kerajaan mohon usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi (Sidang Dewan Rakyat) akan datang,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas wakil rakyat pembangkang membantah pembentangan usul tersebut, susulan kenyataan Takiyuddin berkaitan kejadian membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu yang dikaitkan dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985.
Beberapa ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak bersetuju dengan usul yang dibentangkan Shamsul Anuar.
Menurut Hamzah, isu yang dibangkitkan Takiyuddin hanyalah mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata
“Apa yang dibangkitkan beliau (Takiyuddin) adalah sesuatu yang beliau sendiri merasakan sebagai tanggungjawabnya,” katanya.
Selain Hamzah, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) turut membantah sebelum usul tersebut dibentangkan.
Ronald mempersoalkan mengapa Takiyuddin tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Che Mohamad Zulkifly pula berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk menghukum ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan beliau akan menyusuli keputusan dibuat, bagi menentukan sama ada perlu atau tidak sesi pengundian dijalankan nanti.
“Baik-baik jangan ada lagi yang negatif. Sekarang (usul) ditangguhkan.
“Insya-Allah saya akan dapat apa juga keputusan selepas itu sama ada pengundian diteruskan atau tidak. Tapi isunya (usul berkenaan) ditangguhkan,” katanya. – UTUSAN










