MAIPk bantu pelajar asnaf capai impian ke universiti

MAIPk bantu pelajar asnaf capai impian ke universiti

PELAJAR yang menerima sumbangan komputer riba pada Anugerah Kecemerlangan Pelajar Biasiswa dan Dermasiswa Profesional MAIPk Tahun 2025 di Ipoh, Perak, baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Komitmen berterusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membantu asnaf menguatkan semangat Siti Nurul Saadah Mohd Yusof, 18, untuk bergelar peguam syarie.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu kini mengikuti pengajian asasi Tamhidi Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selepas memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Katanya, MAIPk memberikan bantuan kewangan sekali bayar atau one-off sebanyak RM1,000 untuk persiapan ke USIM, juga yuran pengajian dan bantuan komputer riba yang sangat membantunya ketika dia melanjutkan pelajaran.

“Saya tidak menyangka dapat pergi sejauh ini. Kewangan keluarga dibantu oleh abang dan kakak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan guru KAFA.

“Ibu dan saya hanya mengambil upah kecil-kecilan bagi menyara kehidupan seharian. Ayah sudah lebih 10 tahun tidak bekerja kerana penyakit jantung kronik. Bantuan MAIPk sangat membantu saya untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Kata Siti Nurul Saadah, minat terhadap bidang perundangan bermula di sekolah menengah. Ia dipupuk oleh guru semasa bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Merchu, Kuala Kangsar dan mencetuskan minat mendalam terhadap pengajian syariah.

“Bidang ini dirasakan amat dekat dengan diri saya selepas menjalani ujian personaliti ‘Myers-Briggs Type Indicator (MBTI). Hasilnya, saya berpesonaliti sebagai seorang pendebat.

“Perkara itu menguatkan lagi tekad saya untuk mendalami bidang perundangan syariah dan menyumbang kepada umat Islam lagi-lagi golongan asnaf,’ katanya

Inisiatif MAIPk itu menepati Flagship Kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi Ameruddin Mohd. Radzi, 18, bantuan berterusan MAIPk kepada keluarga membantunya mengejar cita-cita sebagai seorang guru.

Berasal dari Tapah, dia yang merupakan anak keempat daripada enam beradik, kini mengikuti pengajian Islam di Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA), Jitra, Kedah. Kehidupan keluarga Ameruddin sukar kerana ayahnya tidak bekerja kerana masalah slip disc.

“Ayah telah lama tidak bekerja dan menerima bantuan pencen ilat Perkeso, namun saya difahamkan MAIPk ada memberi sumbangan bulanan, rumah dan beras secara konsisten untuk keluarga.

“Malah, saya menerima bantuan yuran pengajian dan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM1,000 sebagai persiapan ke IPDA. Pemberian komputer riba ini memudahkan saya untuk melakukan tugasan harian semasa pengajian di kampus,” katanya.

Tambah Ameruddin, sebaik tamat pengajian kelak, dia ingin menyumbang kembali dengan mengajar di sekolah agama kerajaan untuk membalas segala jasa yang diterima sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN