KUANTAN: Siaran muka hadapan Utusan Malaysia berhubung Belanjawan Pahang 2026, Sabtu lalu mendapat pujian apabila menampilkan gambar yang memperlihat semua wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, paparan itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada liputan belanjawan malah menjadi satu penghormatan kepada institusi kerajaan negeri.
“Saya lihat liputan akhbar kali ini cukup luar biasa kerana disiarkan di muka hadapan banyak akhbar arus perdana seperti New Straits Times (NST), Sinar Harian, Berita Harian, kemudiannya China Press dan Utusan Malaysia.
“Ini (Utusan Malaysia) saya lihat paling baik kerana memaparkan gambar Speaker. Kalau kita lihat semua gambar wakil rakyat ada sama ada mewakili kerajaan ataupun pembangkang. Yang paling banyak senyum saya lihat adalah wakil dari Beserah (pembangkang).
“Ia merupakan satu penghormatan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.
Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 memaklumkan bahawa, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.279 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding Belanjawan 2025.
Daripada jumlah tersebut, RM1.274 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset.
Ia peningkatan RM91.83 juta atau 7.76 peratus berbanding tahun 2025 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, liputan meluas itu menunjukkan komitmen media dalam memberi perhatian terhadap usaha kerajaan negeri membentangkan belanjawan yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini sejak saya mula menjadi wakil rakyat pada 1999,” katanya.-UTUSAN.










