GAZA: Kumpulan bersenjata yang disokong Israel pada Khamis mengesahkan kematian ketuanya, Yasser Abu Shahab, dalam pertempuran antara puak di Semenanjung Gaza.
Kumpulan Popular Forces dalam satu kenyataan berkata, Yasser ditembak ketika cuba menyelesaikan pertikaian antara anggota sebuah keluarga Palestin.
Kumpulan itu menafikan laporan pemimpin tersebut dibunuh oleh anggota Hamas di Gaza.
Hamas menyifatkan kematian Yasser sebagai ‘nasib yang tidak dapat dielak untuk sesiapa sahaja yang mengkhianati rakyat dan negaranya’.
Menurut Hamas, tindakan jenayah yang dilakukan oleh Yasser dan kumpulannya bersama tentera Israel jelas menyimpang daripada identiti nasional dan sosial.
Hamas turut memuji pendirian tegas keluarga dan puak Palestin menentang Yasser serta mana-mana pihak terbabit menyerang rakyat sendiri atau bersekongkol dengan penjajahan Israel.
Jun lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara terbuka mengaku menyokong kumpulan pimpinan Yasser di Gaza, susulan pendedahan seorang bekas menteri berhubung Israel menyalurkan senjata kepadanya.
Pejabat Media Kerajaan Gaza berulang kali menuduh kumpulan bersenjata disokong Israel merampas bantuan kemanusiaan yang semakin berkurangan ketika memasuki wilayah terkepung itu.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 70,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 171,000 yang lain dalam serangan di Gaza.- ANADOLU










