Guru bebas daripada tugas pengkeranian

Guru bebas daripada tugas pengkeranian

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 400,000 guru bebas daripada bebanan tugas perkeranian selepas Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM).

Pemansuhan itu membolehkan guru melaksanakan tanggungjawab profesional dengan lebih berkesan, khususnya dalam aspek pengajaran, kokurikulum, pentaksiran dan bimbingan murid.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, susulan pemansuhan SPLKPM, semua komponen berkaitan perekodan latihan guru turut dimansuhkan, termasuk dasar latihan lima hari dan keperluan merekod 42 jam mata kredit latihan tahunan.

“Pemansuhan ini memberi ruang dan fokus kepada guru untuk melaksanakan tugas profesionalisme keguruan dengan lebih sempurna menerusi perancangan yang sistematik serta ruang komitmen yang lebih tinggi terhadap murid,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 14 Disember lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, SPLKPM yang dibangunkan bagi memudahkan urusan latihan guru dan warga pendidik akan dimansuhkan mulai tahun hadapan, sekali gus mencerminkan kepercayaan penuh kementerian terhadap profesionalisme guru.

SPLKPM diperkenalkan pada tahun 2010 sebagai portal dalam talian untuk mengurus latihan profesional guru dan pegawai KPM, termasuk merekod mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), menyediakan akses kepada kursus dalam talian serta pengeluaran sijil digital.

Ia dibangunkan bagi menyeragamkan pengurusan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang sebelum ini direkodkan secara manual dan berasingan di peringkat sekolah serta pejabat pendidikan daerah, sekali gus memudahkan pemantauan latihan guru secara lebih sistematik di seluruh negara.

Namun, pelaksanaannya yang mewajibkan guru melengkapkan minimum 42 jam latihan setahun semakin dilihat sebagai membebankan, khususnya kepada lebih 400,000 guru di bawah KPM termasuk guru sekolah rendah, menengah, pendidikan khas serta pentadbiran sekolah.

Berikutan pemansuhan itu, Mohd. Azam berkata, kementerian akan menyusun strategi dan langkah bersesuaian bagi memastikan pemansuhan SPLKPM tidak menjejaskan pembangunan profesionalisme keguruan.

“Pemansuhan sistem bukan bermaksud latihan dihapuskan, sebaliknya kaedah serta tanggungjawab terhadap perekodan latihan itu perlu dikemas kini mengikut fungsi dan keperluan sebenar,” katanya.

Katanya, latihan, kursus dan bengkel masih penting dalam meningkatkan kemahiran serta kompetensi guru sejajar dengan keperluan pendidikan semasa yang semakin mencabar.

Dalam konteks itu, katanya, pembangunan profesionalisme keguruan akan dilaksanakan di peringkat sekolah masing-masing menerusi Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) yang bersifat fleksibel, berasaskan keperluan setempat dan tidak membebankan warga sekolah.

“Inilah bentuk autonomi yang diberikan. Saya ingin melihat peluang ini disambut dengan kreativiti warga sekolah dalam membangunkan profesionalisme pendidikan di sekolah masing-masing,” katanya.

Mohd. Azam berkata, perekodan latihan profesional keguruan sebenarnya sudah mencukupi di bawah sistem sedia ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), justeru tidak perlu lagi diwujudkan sistem tambahan di bawah KPM seperti SPLKPM.

Katanya, bagi perekodan latihan, bengkel atau kursus, urus setia penganjur sahaja perlu merekod kehadiran guru, manakala latihan di peringkat sekolah boleh direkod oleh pengetua, guru besar atau penolong kanan.

“Guru-guru tidak perlu lagi diganggu dengan tugas perkeranian. Biarkan mereka mempunyai ruang yang luas untuk mengajar dan mendidik murid sama ada di dalam bilik darjah, di sekolah atau di luar sekolah,” katanya.

Mengenai PLC, beliau berkata, pendekatan itu membolehkan guru berbincang, bekerjasama serta menganalisis isu pembelajaran murid bagi mencari penyelesaian yang praktikal.

“Melalui kaedah seperti kumpulan penyelesaian masalah, lesson study dan kritikan video, kompetensi guru dapat diperkukuh dan sekolah benar-benar berfungsi sebagai institusi profesional demi pendidikan anak bangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN