Garis panduan baharu keselamatan sekolah

Garis panduan baharu keselamatan sekolah

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula tahun hadapan, semua pelajar yang bertukar sekolah mesti melampirkan laporan kesihatan termasuk keadaan mental serta laporan disiplin pelajar tersebut.

Itu antara garis panduan baharu yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan keselamatan sekolah, termasuk isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal bermula sesi persekolahan 2026.

Pada masa ini, Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah KPM sedang menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) sekolah yang mungkin tidak lagi relevan, agar lebih selaras dengan keperluan semasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, perbincangan itu turut disertai agensi luar seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Beliau berkata, pelaksanaan reformasi segera ini dilaksanakan yang memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu kesihatan mental, Pendidikan reproduktif dan Sosial, kebajikan guru, suara murid dan Polisi Perlindungan Murid.

“Pelbagai kementerian dan agensi pakar seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilibatkan sama untuk memperkukuh kemahiran guru dalam menangani isu mental, trauma dan keselamatan murid.

“Kita akan tengok balik SOP-SOP sedia ada sebagai contoh murid pindah sekolah dari sekolah A kepada sekolah B. Sekolah A ini mesti lampirkan laporan kesihatan termasuk kesihatan mental serta laporan disiplin murid tersebut.

“Selama ini tukar macam itu sahaja (tanpa lampiran rekod murid). Sekolah baru tidak tahu (tentang murid itu). Kemudian berlaku insiden jenayah dekat sekolah baharu sedangkan murid itu sudah ada rekod kesihatan mental dan disiplin. Jadi SOP seperti ini kita akan perkemaskan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mohd. Azam berkata, KPM turut menjalankan audit keselamatan dan keberadaan guru di sekolah melalui Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) atas arahan Menteri Pendidikan.

Katanya, audit ini akan menilai bukan sahaja kehadiran guru tetapi juga aspek keselamatan sekolah, beban kerja dan kesejahteraan guru termasuk menilai situasi di sekolah pada waktu siang dan malam.

Mengenai pelaksanaan di bawah Polisi Perlindungan Murid pula, Mohd. Azam berkata, KPM akan memperkenalkan ‘Aku Janji Sekolah’ antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid.

“Sekolah berjanji untuk melindungi dan mendidik anak-anak dengan selamat sementara ibu bapa pula memahami tanggungjawab mereka dan murid juga membuat komitmen terhadap disiplin dan nilai diri.

“Amalan ini telah terbukti berkesan di sekolah antarabangsa, dan kini akan diadaptasi dalam konteks sekolah Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, budaya kepimpinan dalam kalangan murid dibina melalui konsep ‘Hero Friend’ iaitu rakan sebaya yang berperanan membantu kawan menghadapi tekanan atau cabaran emosi.

Katanya, bagi guru pula, ia memberi tumpuan kepada kemahiran pengurusan stres dan kesihatan mental serta menyokong guru yang berdepan murid berisiko atau mempunyai keperluan khas.

Beliau berkata, pada masa ini, pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkenaan diberi tumpuan kepada 100 sekolah rintis untuk menjadi model awal bagi melihat keberkesanan sebelum diperluas ke sekolah lain mengikut keupayaan masing-masing di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Pemilihan 100 sekolah ini turut melibatkan Sekolah Angkat Madani, yang menerima sokongan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan komuniti.

“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh keselamatan serta kemudahan sekolah, contohnya melalui penyediaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan prasarana lain.

“Matlamat utamanya ialah melaksanakan pendekatan menyeluruh merentas kementerian dengan penglibatan aktif ibu bapa, komuniti dan sektor sosial, agar usaha pembaharuan pendidikan ini benar-benar berimpak dan berdaya tahan untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×