Diagnosis awal kanser boleh selamatkan nyawa - Raja Charles

Diagnosis awal kanser boleh selamatkan nyawa – Raja Charles

RAJA CHARLES III
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III, mengumumkan perkembangan positif mengenai penyakit kansernya, dengan diagnosis awal dan ‘intervensi yang berkesan’ membolehkan rawatannya dikurangkan pada tahun depan.

Dalam rakaman video yang disiarkan di Channel 4 untuk kempen Stand Up To Cancer, Charles berkata, pencapaian itu merupakan kemajuan luar biasa dalam rawatan penyakit berbahaya tersebut.

Ia merupakan kemas kini terbesar mengenai kesihatan Raja sejak beliau mendedahkan diagnosisnya pada Februari tahun lalu.

Walaupun jenis kanser belum didedahkan dan rawatan serta pemantauan diteruskan, Charles menekankan kepentingan diagnosis awal yang sememangnya menyelamatkan nyawa.

Menurut Istana Buckingham, pemulihan Raja Charles kini berada pada tahap yang sangat positif dan beliau memberi tindak balas luar biasa terhadap rawatan, sehingga doktor kini memindahkannya kepada fasa berwaspada.

Kekerapan rawatan akan dikurangkan dengan ketara, namun Charles, 77, belum diisytiharkan sembuh atau bebas kanser.

“Hari ini saya dapat berkongsi berita baik berkat diagnosis awal, intervensi yang berkesan dan kepatuhan arahan doktor, jadual rawatan kanser saya sendiri boleh dikurangkan pada tahun hadapan,” menurut baginda dalam ucapan.

Mesej video itu dirakam di Clarence House dua minggu lalu dan disiarkan dalam program Stand Up To Cancer di Channel 4 pada malam Jumaat, sebagai sebahagian projek kutipan dana yang dijalankan bersama Cancer Research UK.

Kempen tersebut menggalakkan lebih ramai orang untuk menjalani ujian kanser dan memanfaatkan skim saringan kebangsaan, dengan mesej Raja menekankan kepentingan pemeriksaan awal untuk mengesan kanser.

“Saya tahu daripada pengalaman sendiri diagnosis kanser boleh menimbulkan rasa tertekan. Namun, saya juga tahu pengesanan awal adalah kunci yang boleh mengubah perjalanan rawatan, memberi masa yang amat berharga kepada pasukan perubatan,” kata Charles.

Baginda menekankan pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa: “Hidup anda, atau hidup seseorang yang anda sayangi, mungkin bergantung kepadanya.”- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN