Bicara kes amang seksual Naim Daniel ditangguh tahun hadapan 

Bicara kes amang seksual Naim Daniel ditangguh tahun hadapan 

NAIM DANIEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes amang seksual melibatkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditangguhkan ke tahun hadapan. 

Peguam Naim Daniel, Mohd. Irwan Sumadi memaklumkan, Datin M. Kunasundary menetapkan tarikh baharu perbicaraan yang akan berlangsung selama empat hari bermula pada 31 Mac hingga 3 April 2026.

“Kes bicara (hari ini) telah dilapangkan oleh mahkamah. Tarikh bicara baru adalah 31 Mac dan 1 hingga 3 April 2026,” kata peguam itu.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan tarikh 15, 16 dan 18 Disember ini bagi perbicaraan kes pelakon drama Projek: High Council itu. 

Pada 17 Jun lalu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, pelantun lagu Sumpah itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN