SHAH ALAM: SHAH ALAM: Negeri Selangor dijangka menghadapi masalah banjir yang lebih teruk menjelang tahun 2040, ekoran fenomena cuaca ekstrem termasuk hujan berterusan melebihi 24 jam.
Situasi itu dijangka berlaku walaupun negeri ini mempunyai 180 projek tebatan banjir melibatkan perbelanjaan lebih RM4 bilion di setiap lembangan sungai.
Kajian menunjukkan kadar hujan setinggi 300mm dalam tempoh 24 jam kini berlaku lebih kerap berbanding sebelum tragedi banjir besar 2021.
Dalam beberapa jam sahaja, limpahan air sungai boleh berlaku lebih cepat, diperburukkan lagi dengan perubahan iklim dan paras air laut yang meningkat antara 16 hingga 21 sentimeter sehingga 2017 dan didakwa meningkat lebih pantas kini.
Trend hujan ekstrem dan berpanjangan sejak 30 tahun lepas turut menguatkan kebimbangan.
Banjir besar pada 1995 dan 1996 di Taman Sri Muda, Seksyen 25 menjadi peringatan awal, manakala selepas 2010, insiden banjir semakin kerap berlaku di kawasan seperti Kajang, Petaling dan Hulu Langat, dengan sekurang-kurangnya 150 kejadian dicatatkan antara 2012 hingga 2022, menurut kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2022.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Datuk Mohd. Nazri Yasmin, menjelaskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dibina berdasarkan dasar zoning pembangunan sehingga 2035, termasuk keperluan kapasiti aliran limpahan hujan ke sungai.
“Pembangunan kawasan mempengaruhi kelajuan limpahan air masuk ke sungai kerana penyerapan tanah berkurangan apabila kawasan ditutupi simen. Air terus dialirkan ke longkang atau parit,” katanya.
Nazri menambah, tebatan banjir di lembangan sungai utama dibina menampung sehingga 200 purata jeda kitaran (ARI), manakala sungai kedua (secondary) hingga 100 ARI. Kawasan seperti Sungai Damansara dan Sungai Klang mempunyai kapasiti sehingga 200 ARI, dan keupayaan itu direka supaya tahan dengan limpahan hujan berdasarkan unjuran cuaca masa hadapan.
Beliau menekankan bahawa pembangunan masa depan harus seimbang supaya kapasiti tebatan sedia ada mampu bertahan lebih lama.
“Tebatan banjir bukan penyelesaian sepenuhnya, tetapi dapat mengurangkan risiko dan kesan lebih buruk,” jelasnya.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM3.5 bilion bagi melaksanakan 18 projek mitigasi banjir jangka panjang, manakala kerajaan negeri menyalurkan RM500 juta untuk 20 projek di seluruh Selangor. Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim, turut memaklumkan kerajaan negeri meluluskan RM27 juta untuk 142 projek tebatan banjir jangka pendek dalam tempoh dua bulan di lapan daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Projek tebatan banjir di Hulu Langat yang bernilai RM500 juta masih berada di peringkat penerimaan dan reka bentuk.
Dengan persiapan berterusan dan pelaksanaan projek baharu, pihak berkuasa berharap Selangor dapat mengurangkan risiko banjir dan menampung limpahan air hujan di masa hadapan, walaupun cabaran perubahan iklim terus meningkat. – UTUSAN










