Alumni SMKATAHAP bukti kejayaan lahirkan tokoh negara - Utusan Malaysia

Alumni SMKATAHAP bukti kejayaan lahirkan tokoh negara

KIRA-KIRA 350 peserta menyertai Karnival Sukan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP) di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kejayaan melahirkan tokoh negara dalam bidang kehakiman dan kepimpinan membuktikan kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP) di sini apabila barisan alumninya kini memegang jawatan penting di peringkat negeri dan antarabangsa.

Presiden Persatuan Alumni SMKATAHAP, Mohamad Omar Mokhrij Johari berkata, antara tokoh alumni yang menjadi kebanggaan sekolah ialah Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang kini menyumbang kepakaran dalam bidang kehakiman negara.

“SMKATAHAP turut mencatat sejarah apabila melahirkan alumni sulung yang berkhidmat di peringkat antarabangsa iaitu Datuk Indera Dr. Azfar Mohamad Mustafar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura. Beliau merupakan antara pelajar terawal sekolah itu yang memulakan persekolahan pada 1984 dan tamat Tingkatan Lima pada 1988.

“Selain itu, sekolah ini juga berjaya melahirkan ramai tokoh profesional dalam bidang perubatan termasuk Dr. Onn Akbar Ali, Pakar Jantung di KPJ Kajang dan Profesor Madya Dr. Maisarah Jalalonmuhali yang merupakan Pakar Nefrologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Kejayaan alumni dalam pelbagai bidang profesional ini membuktikan SMKATAHAP konsisten melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing sejak penubuhannya,” katanya pada Karnival Sukan Alumni SMKATAHAP di sini.

Karnival itu mencatatkan penyertaan 350 peserta berdaftar dengan kehadiran pengunjung dianggarkan seramai 600 orang melibatkan alumni, warga sekolah dan komuniti setempat.

Pelbagai acara sukan dipertandingkan termasuk bola sepak, bola baling, badminton, petanque, woodball, pingpong dan carrom yang berlangsung di sekitar kawasan sekolah.

Program itu turut dibantu sukarelawan dalam kalangan anak-anak alumni dan pelajar SMKATAHAP, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan yang terus subur dalam kalangan warga sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN