PARIS: 14 negara termasuk Perancis, Britain dan Jerman mengutuk Israel selepas Kabinet keselamatan negara itu meluluskan 19 penempatan haram Yahudi baharu di Tebing Barat yang diduduki.
Kenyataan bersama menyebut, tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menegaskan pendirian mereka menentang penggabungan wilayah serta perluasan penempatan haram.
“Kami, negara-negara Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Iceland, Ireland, Jepun, Malta, Belanda, Norway, Sepanyol dan United Kingdom, mengecam kelulusan 19 penempatan baharu oleh Kabinet keselamatan Israel di Tebing Barat,” menurut kenyatan dikeluarkan Kementerian Luar Perancis.
Kelulusan itu diumumkan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, dengan mendakwa ia bertujuan menghalang penubuhan negara Palestin.
Negara-negara berkenaan turut memberi amaran tindakan unilateral itu berisiko merosakkan gencatan senjata rapuh di Gaza, ketika pengantara berusaha melaksanakan fasa kedua.
14 negara tersebut menggesa Israel ‘membatalkan keputusan, termasuk rancangan peluasan penempatan’.
Mereka juga menegaskan semula komitmen teguh terhadap keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara, di mana dua negara demokratik, Israel dan Palestin, hidup bersebelahan dalam aman dan selamat”.
Israel menduduki Tebing Barat selepas perang pada 1967.
Tidak termasuk Baitulmuqaddis Timur, yang diduduki Israel pada 1967, lebih daripada 500,000 warga Israel tinggal di Tebing Barat, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan perluasan penempatan Israel di Tebing Barat, mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017.- AFP










