PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) menetapkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan secara solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan ini.
Naib Presidennya, Datuk Jaujan Sambakong berkata, Warisan telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya sejak lima tahun lalu dan kini berada dalam keadaan siaga sepenuhnya di setiap kawasan.
Kata beliau, keputusan Warisan tidak berubah dan bertekad untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN.
“Jadi kalau kami dapat lebih 40 kerusi, kami tidak payah bergabung dengan mana-mana parti untuk bentuk kerajaan.
“Kami bergabung dengan rakyat, bukan parti-parti komponen. Kalau awal-awal sudah berebut kerusi, bertindih-tindih sampai sekarang pun tidak selesai, itu baru soal kerusi, belum jadi kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Warisan memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17, tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan yang dipengerusikannya.
Mengulas lanjut, Jaujan berkata, pengumuman rasmi berhubung calon Warisan yang akan bertanding akan dibuat oleh Presiden Warisan sebelum 15 November ini.
“Bukan tidak mahu beritahu awal, bukan juga tunggu calon parti lain. Sama ada awal atau lambat tiada kena mengena dengan parti lain, bukan cakap besar tetapi kami tahu apa yang kami buat,” katanya.
Menurut beliau, Warisan mengambil keputusan untuk tidak bergabung dengan mana-mana parti politik bagi mengelakkan perebutan kerusi yang sering menjadi punca perpecahan dalam kalangan gabungan.
“Sekarang Warisan tidak mahu bergabung dengan mana-mana parti sebab enggan berebut kerusi. Kami hanya bergabung dan bekerjasama dengan pengundi. Kalau kami menang, kami akan bergabung dengan rakyat,” katanya.
PRN Sabah Ke-17 akan bermula 15 November ini dengan penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 25 November manakala hari mengundi ditetapkan pada 29 November. – UTUSAN










