PETALING JAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D) negara menerusi pemeteraian sembilan kerjasama strategik bersama industri sempena Festival of Ideas (FOI) di Putrajaya International Convention Centre (PICC), hari ini.
Majlis pertukaran memorandum itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Kerjasama itu meliputi bidang utama termasuk pertahanan, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, automotif pertahanan dan pembuatan termaju selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM30.
“Antara projek utama ialah kerjasama dengan Synergy Generated Sdn. Bhd. bagi pembangunan sistem tenaga solar menyeluruh di kampus UPNM yang turut melibatkan latihan industri, penyelidikan bersama dan pelan penjanaan tenaga hijau jangka panjang.
“Selain itu, kerjasama dengan Ketech Asia Sdn. Bhd. akan memacu projek ‘Nurturing a Green Future’ bagi membangunkan propelan mesra alam menggunakan biojisim kelapa sawit untuk meningkatkan keupayaan teknologi pertahanan kendiri negara,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini
Keseluruhan inisiatif ini dijangka memberi impak besar terhadap ekosistem penyelidikan negara melalui peningkatan kapasiti penyelidikan, pemindahan teknologi serta pengkomersialan inovasi selain membuka peluang pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang pertahanan dan teknologi strategik.
“Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah merealisasikan hasrat UPNM menjadi Universiti Pertahanan Unggul Serantau menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN










