BANGKOK: Thailand menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduh negara jiran itu menanam periuk api baharu yang mencederakan beberapa anggota tenteranya, sehari selepas Bangkok menggantung perjanjian gencatan senjata yang ditaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut pegawai Kementerian Luar Thailand, insiden letupan pada Isnin lalu menyebabkan seorang askar cedera parah ketika rondaan di kawasan sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Kemboja, yang menegaskan tiada periuk api baharu ditanam di kawasan berkenaan.
Ketegangan antara kedua-dua pihak kembali meningkat selepas konflik bersenjata lima hari pada Julai lalu.
Pertempuran itu hanya reda selepas Trump mengadakan panggilan telefon kepada kedua-dua pemimpin dan kemudiannya menyaksikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata di Malaysia pada Oktober.
Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan kira-kira 300,000 lagi terpaksa dipindahkan sementara akibat pertempuran yang melibatkan serangan roket, tembakan artileri berat serta serangan udara.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, Bangkok mahu Kemboja memohon maaf berhubung insiden tersebut.
“Kami meminta pihak Kemboja menyiasat punca sebenar kejadian dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. Selain itu, kami juga mendesak mereka melaksanakan langkah pencegahan supaya insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya kepada media.
Jurucakap kerajaan Kemboja enggan mengulas mengenai tuntutan yang dikemukakan oleh Thailand.
Semalam, Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan dakwaan pihaknya menanam periuk api baharu dan menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Bangkok mengikut perjanjian yang dipersetujui.
Letupan periuk api di kawasan sempadan yang masih dipertikaikan antara kedua-dua negara menjadi antara punca utama tercetusnya semula pertempuran, dengan sekurang-kurangnya tujuh askar Thailand cedera parah akibat insiden berkaitan periuk api sejak 16 Julai.- AGENSI










