ARAU: Tiga graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang hampir terlepas detik bersejarah dalam hidup mereka apabila gagal hadir majlis konvokesyen Ahad lalu akibat terkandas dalam banjir di Hat Yai, Thailand, akhirnya menerima ijazah masing-masing semalam.
Kesemua mereka diraikan dalam slot khas sidang kelapan Istiadat Konvokesyen Unimap dan menjadi pengalaman cukup bermakna bagi Haniswati Rah-mat, 25, Ooi Ji Ean, 23, dan Vi-shaak Anbanathan, 23.
Haniswati dari Kluang, Johor berkata, dia dan keluarga berjaya keluar dari kawasan terjejas dengan berkonvoi bersama kenderaan rakyat Malaysia yang lain melalui laluan yang dipandu arah oleh pihak berkuasa Thailand.
Dia sangat bersyukur dapat pulang ke Malaysia dan menginap di rumah penginapan bersama keluarga sebelum hadir pada slot khas tersebut.
“Pengalaman hadir ke slot khas konvokesyen ini sebagai kenangan manis walaupun tidak dapat bergraduasi bersama rakan-rakan sekuliah pada sidang ketiga konvokesyen Ahad lalu.
“Terima kasih Unimap kerana prihatin dengan kami dan akhirnya dapat juga kami menerima skrol di atas pentas bersejarah ini,” katanya.
Ooi Ji dan Vishaak dari Kulim, Kedah pula terkandas beberapa hari di Hatyai ketika bercuti bersama tujuh rakan dan tidak dapat menghadiri konvokesyen pada Ahad lalu.
Mereka dapat pulang ke Malaysia dengan menaiki bas dari stesen bas Hatyai ke Danok dengan caj RM40 seorang sebelum berjalan kaki ke Bukit Kayu Hitam untuk mengambil kereta.
Vishaak berkata, mereka menaiki van ke Hatyai dan meninggalkan kereta di Bukit Kayu Hitam sebelum banjir dan tidak menyangka bencana melanda selepas itu.
“Kami bersyukur kerana dapat menumpang bas bersama rakyat Malaysia lain yang turut terkandas. Dapat bertemu keluarga dan hadir ke slot khas, cukup bermakna buat kami,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr Zaliman Sauli berkata, Unimap mengambil keputusan mengadakan slot khas bagi memastikan tiga penerima Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) itu tetap diberi ruang menerima ijazah mereka secara bersemuka.
“Sebagai tanda keprihatinan, Unimap mengadakan slot khas pada sidang lapan bagi menyampaikan ijazah kepada tiga graduan yang tidak dapat hadir pada sidang ketiga dan keempat sebelum ini,” katanya.-UTUSAN










