PORT DICKSON: Penanaman pokok bakau dan pokok pesisir pantai seperti kelapa boleh menjadi benteng semula jadi bagi mengurangkan impak hakisan pantai di Port Dickson.
Aktivis pemuliharaan marin, Noor Fadzli Shah, 46, berkata, beliau sendiri terlibat dengan penanaman pokok bakau sejak tahun 2020 menerusi program tanggungjawab sosial korporat bersama beberapa syarikat dan agensi kerajaan.
Katanya, tindakan itu sebagai pelan tindakan jangka panjang dan penyelesaian menyeluruh dalam menangani masalah hakisan pantai di sini yang semakin membimbangkan.
“Pokok-pokok ini memerlukan masa bertahun-tahun untuk matang, sebab itu perlu ada perancangan jangka panjang. Bukan tebang habis dan kemudian baru hendak tanam semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Noor Fadzli berkata, tindakan yang diambil ketika ini dilihat hanya bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan isu itu secara berkesan untuk jangka masa panjang.
“Apa yang berlaku sekarang hanyalah tindakan menutup isu. Bila ada laporan hakisan, barulah diambil langkah pembaikan, tetapi selepas itu masalah sama berulang.
“Kita perlukan penyelesaian kontigensi serta pelan jangka panjang yang melibatkan semua pihak termasuk komuniti setempat, NGO dan aktivis alam sekitar,” katanya.
Tambahnya, kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai kerja-kerja pemulihan hakisan pantai yang akan dilaksanakan tahun depan adalah namun agak lewat.
“Kenapa mesti tunggu tahun depan? Tahun depan sudah Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Sepatutnya semua fasiliti sudah siap lebih awal,” katanya.-UTUSAN.










