Suami, anak derita sakit jantung

Suami, anak derita sakit jantung

NURUL Wahida Kamarudin (belakang, tengah) dan Mohd. Nazrul (kiri) serta Nurul Aisyah (depan) dan Nurul Syafiera ketika ditemui di rumah mereka di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Di sebalik senyuman seorang isteri di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, tersimpan derita apabila suami dan anak bongsunya sama-sama diuji penyakit jantung.

Ekoran penyakit itu, anak bongsu Nurul Wahida Kamarudin, 41, iaitu Nurul Aisyah Mohd. Nazrul berusia empat tahun kerap kali menangis menahan kesakitan, tidak berselera makan dan kurang bertenaga akibat masalah pada injap jantung.

Katanya, anak bongsunya itu kerap merengek dan mengadu susah hendak bernafas dan sakit di dada sebelah kiri pada sebelah malam sehingga membimbangkan dia dan suaminya, Mohd. Nazrul Mat Zain, 44.

“Sudah empat kali kami terpaksa menangguhkan rawatan pembedahan injap jantung Nurul Aisyah di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana tidak mampu daripada segi kewangan yang memakan belanja tinggi.

“Saya dan suami tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan pengangkutan dan penginapan kira-kira RM2,000 ketika ke IJN di samping kos pembedahan tersebut difahamkan melibatkan jumlah yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini.

Menurut Nurul Wahida, Nurul Aisyah disahkan mengalami saluran injap bocor ketika dirawat tahun lalu dan sejak awal tahun ini telah dipanggil beberapa kali oleh IJN untuk membuat rawatan tersebut.

Katanya, dia turut menerima tekanan apabila Mohd. Nazrul yang mengalami sakit jantung hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan.

Selain penderitaan dialami anak bongsu dan suami, Nurul Wahida memberitahu, mereka juga kesempitan wang belanja persekolahan untuk tiga orang lagi anaknya iaitu Nurul Syafinaz, 17, yang kini sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Nurul Syafiera, 14, juga masih belajar di sekolah menengah manakala seorang lagi, Nurul Syaffiya Umairah, 11, di Sekolah Kebangsaan (SK) di Felda tersebut.

Katanya, mereka sekeluarga juga mendiami sebuah rumah yang uzur cuma tinggal sebilik dan tidak mampu membina baharu kerana tiada wang walaupun mempunyai tapak yang diberikan oleh kerajaan di tanah rancangan tersebut.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Nurul Wahida menerusi nombor telefon 0134715273 atau terus ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×