PADANG BESAR: Beberapa spesies burung hijrah berjaya direkodkan di negeri ini bersempena The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025 bermula dari 31 Oktober hingga 2 November.
Pengarah Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, hasil penganjuran program berkenaan, antara dua hingga tiga spesies burung hijrah direkodkan baharu ditemukan di Wang Kelian selepas dikenalpasti para peserta.
Katanya, kehadiran spesies burung itu adalah berikutan daripada musim hijrah haiwan berkenaan yang kebiasaan bermula dari September hingga November setiap tahun.
“Burung-burung ditemui ini bukanlah spesies baharu namun ia adalah baharu direkodkan penemuannya di Perlis. Berdasarkan pemerhatian inventori burung pada 2022, sebanyak 197 spesies burung telah direkodkan di Banjaran Nakawan manakala untuk Wang Kelian, sebanyak 170 spesies direkodkan termasuklah Burung Hantu Busut. Untuk 2026, kita akan kemas kini,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Ag Shaffie berkata, Wang Kelian kini menjadi antara destinasi utama bagi pencerapan burung berikutan lokasi itu terdiri daripada ekosistem hutan batu kapur yang mempunyai dirian tumbuhan berbeza dari tempat lain.
Katanya, apabila tumbuhan di kawasan itu berlainan, maka sumber makanan burung juga berbeza sekali gus menarik haiwan berkenaan ke lokasi tersebut.
“Lokasi-lokasi yang dikenalpasti sesuai bagi melakukan aktiviti pencerapan burung di Wang Kelian adalah sekitar kawasan Taman Negeri, Kaki Bukit dan Kampung Wang Kelian,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (Nest), Sulaiman Salikan berkata, penyertaan peserta pada program kali ini sebanyak 93 kumpulan di mana terdapat peningkatan penglibatan pelajar sekolah.
“Menerusi penganjuran itu, terdapat beberapa spesies burung unik berjaya dikenal pasti antaranya seperti Black Back Dwarf Kingfisher. Inilah kelebihan ‘photo race’ ini di mana apabila peserta berselerak merata tempat, maka mereka akan dapat kenalpasti banyak spesies burung, malah, untuk berjaya menangkap gambar burung antaranya memerlukan masa sehingga sehari atau tiga hari menunggu.
“Perlis merupakan unjuran dari Thailand dan oleh itu, ada spesies burung hanya akan berhenti di negeri ini sahaja serta tidak akan dapat ditemui di tengah atau Selatan semenanjung Malaysia, itulah keunikan Perlis,” katanya.-UTUSAN










