Maqis kuarantin 543 ekor burung dari luar negara elak bawaan wabak - Utusan Malaysia

Maqis kuarantin 543 ekor burung dari luar negara elak bawaan wabak

ANTARA spesies burung yang dibawa masuk dari luar negara yang dikuarantin di Stesen Kuarantin Maqis di Batu Maung, Pulau Pinang bagi tujuan persampelan untuk mengelak penularan wabak tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Sebanyak 543 ekor burung bernilai RM83,063 dari Singapura, Republik Czech dan Guinea dikuarantin di Stesen Kuarantin Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Batu Maung (SKBM), dekat sini sepanjang tahun lalu sehingga April tahun ini.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, sepanjang tempoh kuarantin, Maqis bertanggungjawab melakukan aktiviti persampelan terhadap burung yang dibawa masuk dari negara luar.

Jelas beliau, pengambilan sampel ke atas burung akan dijalankan sehari selepas kemasukan burung di Stesen Kuarantin Maqis bertujuan mengelakkan burung mengalami kemurungan dan tekanan disebabkan perubahan tempat tinggal.

”Kebiasaannya, sampel calitan kloaka bagi burung yang dikuarantin akan diambil untuk tujuan saringan ujian Avian Influenza (AI) dan ujian Newcastle Disease (ND).

“Sekiranya ujian tersebut didapati positif, maka burung tersebut akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ujar beliau, mana-mana unggas yang dibela seperti burung kakak tua dan burung nuri yang dibawa masuk ke Malaysia perlu menjalani prosedur kuarantin.

”Tempoh kuarantin bagi burung ditentukan berdasarkan analisis risiko ke atas spesis burung dan negara asal yang berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pada masa ini, terdapat tujuh buah Stesen Kuarantin Haiwan Kerajaan yang telah dibina iaitu enam di Semenanjung dan sebuah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ujarnya, setiap stesen kuarantin itu mempunyai kemudahan dan kapasiti tersendiri bagi urusan kuarantin haiwan.

”Stesen Kuarantin Pulau Pinang merupakan salah satu pusat kuarantin yang dibina bagi tujuan pencegahan kemasukan penyakit haiwan dan zoonotik ke dalam negara melalui aktiviti pengimportan haiwan hidup terutamanya burung,” katanya.

Tambah beliau, tindakan membawa masuk haiwan hidup yang berpenyakit adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.