SHAH ALAM: Selangor bakal memiliki loji tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui apabila ia dibina dan disiapkan dalam tempoh lima tahun lagi.
Kerajaan negeri merasakan pembinaan loji tenaga nuklear amat diperlukan kerana tidak mampu lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan bakar sedia ada yang tidak lestari berbanding tenaga nuklear.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang membina kapasiti dan akan menghantar beberapa pegawai yang lahir daripada fakulti atau bidang kejuruteraan berkaitan nuklear.
“Kita hendak rujuk kepada universiti tempatan, seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sudah menghubungi saya untuk berinteraksi mengenai penerokaan tenaga nuklear.
“Sebenarnya bidang ini tidak diberikan penerokaan, saya jumpa sendiri pelajar kita di Universiti Tsinghua, China, mereka teroka sendiri. Kita melihat nuklear sebagai ‘sins sector’ yang tidak layak kita terokai.
“Tetapi pada masa depan kita kena bersedia kerana tidak mampu bergantung sepenuhnya dengan sumber bahan bakar yang ternyata tidak lestari berbanding tenaga nuklear,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) berkenaan perancangan kerajaan negeri dan anggaran tempoh pelaksanaan sepenuhnya sumber tenaga bersih menerusi tenaga nuklear.
Menurut Amirudin, isu keselamatan, kebocoran dan persepsi awam masih menjadi perkara utama yang perlu diperjelaskan.
Katanya, pengalaman negara luar seperti Jerman wajar dijadikan pengajaran.
“Saya bertemu perwakilan Jerman. Mereka beritahu ada desakan kuat kelompok hijau (pencipta alam sekitar) untuk hentikan tenaga nuklear atas prinsip tertentu. Namun selepas beberapa tahun, Jerman terpaksa membeli tenaga daripada Perancis yang menjana tenaga nuklear dan menyalurkannya ke negara lain.
“Itu pengajaran penting. Kita kena lihat nuklear bukan dari satu sudut sahaja tetapi sebagai penghasilan tenaga yang bersih,” katanya.
September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Selangor akan menghantar sepasukan pakar ke China tahun depan bagi mempelajari pembinaan dan pengoperasian stesen jana kuasa berasaskan nuklear sebagai sebahagian daripada pelan bekalan tenaga mesra alam atau boleh diperbaharui negeri ini.
Amirudin berkata, bagi pelaksanaan tersebut beliau mahu ia dimulakan dengan sumber manusia iaitu menghantar pakar sebagai pelawat di Tsinghua University dengan sebahagian pembiayaan ditaja oleh kerajaan negeri.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia juga melaporkan, kelewatan kerajaan membangunkan tenaga nuklear mengakibatkan negara kehilangan lebih 100 pakar tempatan dalam bidang tersebut yang berhijrah ke luar negara.
Ini sekali gus menjejaskan sumber tenaga masa hadapan sekiranya Malaysia mahu mewujudkan pelan pembangunan tenaga nuklear secara serius.
Selain itu, kewujudan pusat data dan pertumbuhan kenderaan elektrik dalam negara yang memerlukan banyak tenaga, ditambah peningkatan kos arang batu bagi menghasilkan tenaga elektrik, mendesak negara untuk menerokai industri tenaga nuklear.
Bekas pegawai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Dr. Lau How Mooi berkata, dasar kerajaan yang sering berubah menjadi antara faktor utama menghalang kemajuan bidang itu di Malaysia.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia berkata, tenaga nuklear bukan semata-mata isu teknologi, sebaliknya bergantung kepada keberanian politik dan dasar yang jelas bagi menentukan hala tuju jangka panjang tenaga negara.
“Masalah utama bukan pada kemampuan teknikal, tetapi pada keputusan politik. Jika Malaysia mempunyai dasar yang kukuh dan perancangan jelas, kita mampu membangunkan loji tenaga nuklear sendiri dan menjana pendapatan tambahan buat negara,” katanya. – UTUSAN









