SHAH ALAM: Perdana Menteri dijangka memberi taklimat kepada Jemaah Menteri pada Selasa ini berhubung dakwaan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Perkara itu disahkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, yang memaklumkan semua anggota Kabinet akan diberi penerangan rasmi oleh Perdana Menteri mengenai perkembangan berkenaan.
“Saya difahamkan Perdana Menteri akan beri taklimat kepada semua menteri pada Selasa ini. Jadi, kita tunggu dahulu taklimat itu sebelum buat apa-apa ulasan lanjut,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Amanah 2025, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi rombakan Kabinet susulan pengumuman peletakan jawatan Ewon semalam.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan bahawa setiap keputusan mengenai penyusunan semula Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri dan sebarang kenyataan rasmi hanya akan dibuat selepas sesi taklimat itu selesai.
“Kita hormati kuasa dan budi bicara Perdana Menteri dalam menentukan barisan Kabinet. Buat masa ini kita tunggu dulu maklumat rasmi Selasa nanti,” katanya ringkas.
Peletakan jawatan Ewon semalam mencetuskan spekulasi akan berlaku pertukaran portfolio dan pelantikan baharu dalam kalangan menteri daripada parti komponen kerajaan perpaduan.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Bagaimanapun, Anwar dilaporkan mengambil sikap mengunci mulut dan enggan melayan spekulasi berhubung kemungkinan berlaku rombakan tersebut dalam masa terdekat. – UTUSAN










