CHUMPHON (THAILAND): Rakyat Malaysia yang ditahan Polis Thailand pada 6 November lalu mengaku menerima upah sebanyak RM5,000 untuk menghantar 75 kilogram (kg) ketamin.
Jurucakap polis Chumpon berkata, suspek berusia 25 tahun itu mengaku selepas soal siasat dijalankan ke atasnya.
Katanya, suspek bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui barang yang dibawa itu adalah dadah selepas ia disorokkan di dalam petak rahsia di bahagian belakang keretanya.
“Semasa serbuan dilakukan, suspek memandu kereta dari Bangkok untuk pulang ke Malaysia dengan membawa beberapa barang lain. Kami menggunakan imbasan sinar-X dan menemukan bungkusan dadah.
“Dadah itu disorokkan di dalam petak yang telah diubah suai di bahagian belakang kereta itu dan dibungkus dengan bungkusan teh Cina bertujuan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jurucakap itu berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, suspek akan didakwa mengedar dengan niat untuk menjual bahan psikotropik Kategori 2 (ketamin) iaitu tindakan untuk tujuan komersial dan menyumbang kepada penyebaran dadah dalam kalangan orang ramai.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, polis sedang memburu rakan sekutu kepada rakyat Malaysia yang ditahan di Selatan Thailand minggu lalu selepas membawa 75 kg ketamin dalam kereta dipandunya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan mempunyai rangkaian di negara ini.-UTUSAN.










