KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dijangka sengit apabila sebanyak 3,334 borang pencalonan telah dijual setakat semalam, berbanding 447 kertas pencalonan pada PRN 2020.
Setakat ini, sebanyak 12 parti mengumumkan bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN berlangsung 29 November ini
Pada PRN Sabah 2020, sebanyak 16 parti dan 56 calon Bebas bertanding di samping rekod persaingan terbanyak iaitu 11 penjuru.
Setakat ini, seramai 325 individu dilaporkan telah menjelaskan deposit pilihan raya sebanyak RM5,000, namun dijangka lebih 520 individu akan bertanding pada PRN kali ini.
PRN kali ini juga dijangka lebih sengit dengan kemunculan beberapa parti baharu, selain hampir 80 peratus calon yang ditengahkan merupakan muka baharu dan calon muda.
Jumlah calon dan parti bertanding berkemungkinan bertambah pada hari penamaan calon berakhir pukul 10 pagi ini, mengambil kira calon-calon Bebas yang mungkin menghantar borang pencalonan pada saat akhir.
Sebanyak 12 parti politik yang telah mengumumkan bertanding termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat (GRS), Perikatan Nasional (PN), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Warisan (Warisan). Selain itu, Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Parti Kesejahteran Demokratik Masyarakat (KDM).
Parti lain adalah Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah (PIS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, lebih 3,334 borang penamaan sudah dijual setakat semalam.
“Jumlah sebenar calon diketahui apabila tamat tempoh pencalonan. Jumlah mereka yang layak mengundi bertambah memberi cabaran baharu dari segi logistik, tempat-tempat mengundi dan pengurusan proses pengundian secara keseluruhannya.
“Namun, pihak SPR telah bersedia untuk menghadapi PRN ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khairul Shahril berkata, semua calon perlu mematuhi semua peraturan yang tersedia di dalam akta pilihan raya.
“Calon perlu mengelakkan provokasi semasa pencalonan dan mematuhi peraturan dan undang-undang PRN,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, seramai 9,300 pegawai dan anggota ditempatkan di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman terjamin sepanjang proses pilihan raya di 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Beliau berkata, seramai 4,300 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan sempena hari penamaan calon di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri.
Katanya, kira-kira 15 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas, termasuk sekitar Kota Kinabalu dan kawasan pantai timur Sabah, melibatkan isu politik dan aktiviti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan tertentu.
“Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Sabah, malah turut dialami di negeri-negeri lain setiap kali pilihan raya berlangsung.
“Kita mempunyai anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang berada di lapangan sekiranya berlaku sebarang insiden keganasan.
“Kita juga menempatkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam keadaan siap siaga bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara dan proses pilihan raya berjalan dengan lancar serta teratur. Kehadiran polis bukan hanya sebelum hari pengundian, tetapi juga semasa dan selepasnya.
“Sekiranya apa-apa berlaku, tumpuan kita adalah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan panas, selain lokasi lain seperti bangunan pentadbiran dan Istana Yang Dipertua Negeri Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perjumpaan Khas Ketua Polis Negara bersama petugas PDRM PRN Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.
Mohd. Khalid berkata, penugasan turut membabitkan kerjasama rapat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, termasuk dalam aspek kawal selia keselamatan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Kita mahu memastikan semua berjalan lancar, termasuk kawalan trafik serta kemudahan untuk semua pihak terlibat. Petugas JSJ diarah melakukan penugasan khusus,” katanya.
Mohd. Khalid turut memaklumkan polis mempunyai pasukan bantuan seramai 1,200 anggota, yang digerakkan bergantung kepada penilaian keperluan semasa oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, terutama mengambil kira perubahan cuaca Monsun Timur Laut. – UTUSAN










