PETALING JAYA: Pengelola Tabung Haji (PJH), Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. (Juara Travel) memeterai perjanjian strategik dengan Saudi Airlines bernilai RM30.9 juta bagi penyediaan 10,000 tempat duduk dalam pesawat.
Pengarah Urusan Juara Travel, Rosnah Wagino berkata, langkah tersebut dibuat selepas dilantik Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai salah satu daripada 31 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi musim 1447H / 2026M.
Selain itu katanya, komitmen syarikat kepada para pelanggannya bersempena meraikan pencapaian luar biasa selama 25 tahun syarikat dalam industri pelancongan, umrah, haji dan tiket penerbangan.
“Selama 25 tahun, Juara Travel kekal sebagai peneraju dalam industri umrah, haji dan pelancongan. Ini adalah kerana faktor kepercayaan pelanggan, keutuhan jenama serta komitmen kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan.
“Kami akan terus memperkukuhkan strategi, memperluas rangkaian antarabangsa dan memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang berkualiti, selesa dan diyakini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih 450 alumni haji diraikan dalam majlis tersebut sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang telah bersama Juara Travel sejak tahun 2018 hingga kini.
Sejak menerima lesen rasmi sebagai pengelola haji daripada Tabung Haji pada tahun 2018, Juara Travel terus diberi kepercayaan dan kini telah memperoleh lesen pengelola haji bagi tahun 2026.
Ia membuktikan komitmen tinggi syarikat dalam memberi khidmat terbaik kepada jemaah Malaysia.
Rosnah menjelaskan, untuk musim haji tahun 2026, pihaknya akan terus menambah baik tahap perkhidmatannya kepada bakal jemaah haji dengan persediaan yang lebih rapi bagi memastikan setiap jemaah menikmati pengalaman yang berkualiti dan teratur.
Juara Travel menawarkan empat kategori utama pakej haji iaitu ekonomi, standard, premium dan premium plus dengan harga tawaran bermula daripada RM47,890 sehingga RM125,000 bagi pakej paling eksklusif.
Antara keistimewaan yang ditawarkan adalah penginapan dalam radius tidak lebih 500 meter dari Masjid Al-Haram dan pengiring profesional.
Sehingga kini, syarikat telah menguruskan lebih 1,200 jemaah haji dan 148,000 jemaah umrah sejak tahun 2018. – UTUSAN










