Peperiksaan guaman baharu lengkap latihan praktikal

Peperiksaan guaman baharu lengkap latihan praktikal

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia dalam proses meneliti pelaksanaan Common Bar Course (CBC) atau Common Bar Examination (CBE) lebih komprehensif bagi menggantikan Sijil Amalan Guaman (CLP) sedia ada.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran berkata, ia merupakan sebahagian daripada reformasi sistem kelayakan guaman bagi memastikan peperiksaan CLP lebih setara dengan piawaian antarabangsa.

Katanya, CBC atau CBE akan memperkenalkan komponen penilaian berbentuk kemahiran dan latihan praktikal meliputi perbicaraan jenayah, kemahiran hujahan, etika profesional, penulisan pendapat undang-undang serta kemahiran perundingan.

“Peperiksaan CLP yang pada masa ini merupakan peperiksaan bertulis sepenuhnya akan ditambah baik dengan mengambil kira komponen penilaian berbentuk kemahiran dan latihan praktikal.

“Dalam melaksanakan CBC atau CBE ini, terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi bagi meneliti implikasi terutama kepada para graduan undang-undang yang terlibat sama ada dari luar negara mahupun dalam negara.

“Antara aspek yang perlu dikaji termasuk struktur program CBC, kandungan silibus dan kurikulum, kaedah penilaian, penyedia kursus, tenaga pengajar, pentadbiran dan pengurusan serta kewangan,” katanya ketika menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kula Segaran berkata, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kurikulum CBC bagi membincangkan secara khusus kandungan kurikulum dan silibus program berkenaan.

“Lembaga Kelayakan telah bersetuju dengan penubuhan CBC Task Force terdiri daripada pakar-pakar serta wakil Majlis Peguam dan telah mula menjalankan kajian untuk membangunkan CBC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN