Penyertaan dalam CIIE pertingkat jaringan perdagangan Malaysia-China

Penyertaan dalam CIIE pertingkat jaringan perdagangan Malaysia-China

AHMAD Zahid Hamidi ketika mengadakan Sesi Pre-Council bersama Delegasi Malaysia di Shanghai, China. FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hubungan dua hala Malaysia-China dijangka terus diperkukuh menerusi penyertaan Malaysia dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8 sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan, perdagangan dan kerjasama sektor utama antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan kerja selama empat hari ke China  bermula hari ini memberi tumpuan khusus kepada pengembangan kerjasama dalam sektor halal, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta perdagangan.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam CIIE selari dengan komitmen kedua-dua negara untuk melaksanakan agenda New Golden Era of Malaysia-China Cooperation.

“Lawatan kali ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepercayaan, memacu inovasi dan membuka peluang baharu yang mampu memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadual menghadiri majlis pembukaan CIIE ke-8, selain merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 sebagai platform memperkukuhkan kedudukan industri halal Malaysia di peringkat global.

Beliau juga akan melawat Pavilion Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) yang menjadi simbol kerjasama erat komuniti perniagaan Malaysia-China, di samping menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi dan syarikat Malaysia dengan rakan industri China.

“Lawatan berkenaan dibuat atas undangan rasmi kerajaan China untuk menghadiri CIIE yang berlangsung di National Exhibition and Convention Center (NECC),” katanya.

CIIE merupakan platform dagangan utama inisiatif Belt and Road Initiative (BRI) bagi menggalakkan negara rakan eksport barangan dan perkhidmatan ke pasaran China.

Lawatan ini merupakan penyertaan sulung Ahmad Zahid dalam CIIE, manakala ia merupakan penampilan kedua Malaysia sejak penganjuran sulung ekspo berkenaan pada 2018. Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Malaysia dalam CIIE ke-7.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan nilai dagangan Malaysia-China mencapai RM484.12 bilion pada 2024, menyumbang 16.8 peratus daripada nilai perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.

Dalam sektor halal, Malaysia mencatatkan eksport halal bernilai RM61.79 bilion pada 2024, mewakili peningkatan 15 peratus daripada tahun sebelumnya.

China juga destinasi eksport halal kedua terbesar Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM7.04 bilion pada 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN