CHARLOTTE: Pegawai persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan operasi tegas imigresen, terkini oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, sedang dijalankan di Charlotte, bandar terbesar Carolina Utara, apabila ejen membuat penangkapan di beberapa lokasi.
“Rakyat Amerika sepatutnya boleh hidup tanpa takut kepada pendatang haram yang melakukan jenayah ganas mereka, keluarga atau jiran.
“Kami sedang meningkatkan penguatkuasaan undang-undang Jabatan Keselamatan Dalam Negeri ke Charlotte bagi memastikan rakyat Amerika selamat dan ancaman keselamatan awam dihapuskan,” kata Penolong Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Tricia McLaughlin dalam kenyataan, semalam.
Namun, pegawai tempatan termasuk Datuk Bandar Charlotte, Vi Lyles, mengkritik tindakan tersebut dengan menyatakan ia menimbulkan ketakutan dan ketidakpastian yang tidak perlu.
“Kami ingin memastikan penduduk Charlotte dan Daerah Mecklenburg tahu bahawa kami berdiri bersama semua rakyat yang hanya ingin menjalani kehidupan mereka seperti biasa,” kata kenyataan itu yang turut ditandatangani Pesuruhjaya Daerah, Mark Jerrell, dan Stephanie Sneed dari lembaga pendidikan Charlotte-Mecklenburg.
Charlotte merupakan bandar berbilang kaum dengan lebih 900,000 penduduk, termasuk lebih 150,000 lahir di luar negara, menurut pegawai tempatan.
Kerajaan persekutuan sebelum ini tidak mengumumkan operasi itu bagaimanapun, Sheriff Daerah Mecklenburg, Garry McFadden, berkata awal minggu ini dua pegawai persekutuan memberitahunya ejen kastam akan tiba tidak lama lagi.
Organisasi tempatan mengadakan latihan, memberi maklumat kepada pendatang mengenai hak mereka, dan mempertimbangkan protes aman.
Pentadbiran Trump mempertahankan operasi penguatkuasaan persekutuan di bandar-bandar seperti Los Angeles dan Chicago sebagai perlu untuk membanteras jenayah dan menguatkuasakan undang-undang imigresen namun, usaha beliau untuk memindahkan jutaan pendatang telah menimbulkan tuduhan pelanggaran hak serta pelbagai tuntutan undang-undang.
Gabenor Carolina Utara, Josh Stein berkata kebanyakan individu yang ditahan dalam operasi itu tidak mempunyai rekod jenayah, malah sebahagian adalah warganegara Amerika disamping menasihatkan rakyat supaya merakam sebarang tindakan tidak wajar dan memaklumkannya kepada penguatkuasaan undang-undang tempatan.
Jabatan Polis Charlotte-Mecklenburg menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam penguatkuasaan imigresen persekutuan.- AGENSI










