Pilih pemimpin yang sudah buktikan janji - Arthur Joseph

Pilih pemimpin yang sudah buktikan janji – Arthur Joseph

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memberi peringatan  kepada pengundi agar tidak terpedaya dengan pemimpin yang hanya pandai menabur janji, sebaliknya memilih calon yang benar-benar membuktikan kerja dengan mengotakan janji.

Beliau berkata, dirinya komited untuk membawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook ke tahap yang lebih maju dan lebih baik berbanding sekarang.

Tambahnya beliau percaya masyarakat di Parlimen Pensiangan khususnya DUN Sook telah melihat bukti-bukti pembangunan yang telah beliau berjaya laksanakan sepanjang menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya membulatkan tekad untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri bagi membawa suara masyarakat di kawasan ini ke peringkat negeri. Ini termasuk untuk mencari penyelesaian bagi beberapa isu kritikal yang berada di bawah kuasa kerajaan

“Saya berani bentang manifesto ini kerana pencapaian yang menyakinkan dalam manifesto PRU16 khususnya di Daerah Sook. Jangan pilih pemimpin yang suka berjanji tetapi pilihlah pemimpin yang sudah terbukti menunaikan janji,” katanya ketika melancarkan manifesto calon Barisan Nasional DUN Sook.

Mengulas berkenaan manifesto, Arthur berkata, beliau akan memberikan komitemen untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk serta membawa Sook ke tahap yang lebih baik melalui tiga  tekad dan  tujuh tawaran utama yang telah digariskan.

“Antara tawaran tersebut mempromosikan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penggalakan perniagaan kecil dan sederhana serta sokongan kepada petani dan pengusaha tempatan melalui program latihan dan bantuan kewangan yang akan membantu rakyat menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Beliau turut komited untuk melaksanakan program menaiktaraf jalan-jalan kampung dan jalan pertanian dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk memudahkan pergerakan penduduk dan pengangkutan hasil pertanian.

Tambah beliau, Arthur juga akan berusaha untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih yang telah lama tertangguh di kawasan Sook dengan memberikan tumpuan untuk memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Air Sabah (JAS) bagi memastikan setiap rumah mendapat akses kepada bekalan air bersih dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN