KANGAR: Jika sebelum ini Muslimat Pas jarang mendapat perhatian berbanding sayap lain seperti Pemuda namun mereka kini mula diakui hebat dalam melonjakkan parti Islam itu.
Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Husna Hashim berkata, mereka muncul sebagai tunjang penting parti Islam, menonjolkan kepemimpinan profesional dan peranan aktif di peringkat akar umbi, membuktikan wanita mampu memacu politik dan pembangunan masyarakat.
Katanya, penyertaan ramai dalam kalangan profesional seperti doktor, peguam, ahli akademik dan ramai lagi, menjadikan sayap itu bukan sekadar pelengkap parti.
Di Perlis kata beliau, calon Muslimat Pas yang mula diketengahkan dalam pilihan raya lalu, berjaya mencapai kemenangan dan turut diangkat sebagai Exco kerajaan negeri.
“Di Kelantan pula, wakil-wakil rakyat dalam kalangan muslimat menunjukkan prestasi baik dalam pentadbiran kerajaan negeri serta menjaga kawasan mereka.
“Muslimat kini banyak memainkan peranan dalam parti, daripada penggubalan dasar, kepimpinan, komunikasi hingga mengetuai organisasi. Kita tidak ketandusan pemimpin,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Husna berkata, politik tidak lagi medan eksklusif lelaki apabila muslimat menggunakan kelembutan dan akal fikiran sebagai senjata.
Penglibatan wanita dalam politik dan kepimpinan organisasi di Malaysia semakin meningkat,
termasuk calon-calon yang diketengahkan dalam pilihan raya.
“Di Pas, Muslimat bermula dari bawah, berjumpa pengundi dan bergerak di peringkat akar umbi, memainkan peranan cukup penting dalam parti,” ujar beliau.-MINGGUAN










