BANGKOK: Seorang wanita warga emas berusia 65 tahun yang disangka meninggal dunia ditemukan masih hidup di dalam kerandanya, hanya beberapa minit sebelum upacara pembakaran mayat di Bang Yai, Thailand semalam.
Kuil Wat Rat Prakongtham turut menyiarkan insiden mencemaskan itu secara langsung.
Ahli keluarga membawa keranda wanita berkenaan untuk pembakaran mayat di bawah program sokongan pengebumian kuil tersebut, Final Home.
Bagaimanapun, ketika kakitangan kuil membuka keranda untuk persiapan akhir, mereka ternampak pergerakan yang mengesahkan wanita terbabit masih hidup.
Adik mangsa berkata, mereka sekeluarga bergegas ke kuil selepas menerima daripada pegawai tempatan, bahawa wanita itu meninggal dunia pada malam sebelumnya.
“Saya menjaga kakak saya selama tiga tahun. Pegawai memberitahu dia sudah meninggal dunia.
“Semua dokumen dikeluarkan, jadi kami meletakkan dia di dalam keranda dan membawanya ke kuil untuk pembakaran,” katanya kepada media.
Kakitangan kuil berkata, mereka terkejut apabila mendapati mangsa masih bernyawa, dan segera menghantarnya ke hospital, dengan memberi jaminan semua kos perubatan ditanggung pihak kuil.
Doktor mengesahkan wanita terbabit tidak mengalami serangan jantung atau masalah pernafasan.
Sebaliknya, dia didapati mengalami gula dalam darah yang sangat rendah dan kini diletakkan di bawah pengawasan rapi hospital.- AGENSI










