BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia akan tetap menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang dijadual berlangsung di Afrika Selatan hujung bulan ini walaupun Amerika Syarikat (AS) ‘memulaukannya’.
Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan bebas, Malaysia tidak tunduk kepada AS untuk turut sama memulaukan sidang kemuncak tersebut.
“Betul, kita baik dengan Amerika (Syarikat). Pada hari Ahad (ketika Sidang Kemuncak ASEAN), kita ‘sign’ (tandatangani perjanjian dagangan) dengan mereka, dengan Donald Trump (Presiden AS).
“Tapi, kalau kita tunduk kepada Amerika, saya jemput juga Brazil yang tidak disenangi oleh Amerika (hadir ke sidang kemuncak). Saya jemput juga Ramaphosa (Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa) yang akan mempengerusikan G20.
“Presiden Trump sudah umumkan untuk melarang semua wakil negara itu hadir ke G20. Tetapi saya akan hadir G20,” kata beliau ketika berucap semasa menghadiri majlis pecah tanah projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua di tapak ekspo Seberang Jaya di sini, hari ini.
Trump sebelum ini mengumumkan bahawa Naib Presidennya, JD Vance, akan mewakili beliau ke sidang kemuncak terbabit namun mengubah fikiran dan menegaskan bahawa delegasi AS akan memboikot acara itu sepenuhnya.
“Adalah memalukan apabila sidang G20 akan diadakan di Afrika Selatan,” kata Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social.-UTUSAN.










