PETALING JAYA: Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan unjuran pencapaian 49 peratus menjelang 2030 iaitu jauh mengatasi purata global yang hanya 18 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara paling progresif dalam agenda pembangunan mampan, namun masih banyak cabaran yang memerlukan perhatian segera kerajaan serta kerjasama seluruh pemegang taruh.
“Alhamdulillah, Mesyuarat Majlis SDG Negara pagi ini dimaklumkan Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 49 peratus menjelang 2030, jauh mengatasi purata global 18 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, angka positif itu bukan alasan untuk berpuas hati kerana masih terdapat aspek kritikal yang memerlukan tindakan menyeluruh di bawah 10 Fokus Utama SDG negara.
“Masih banyak yang harus kita tangani khususnya isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pengurusan murid berkeperluan khas hinggalah peluang pekerjaan buat golongan kurang upaya (OKU),” katanya.
Perdana Menteri turut menggesa kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat sivil bagi memastikan tidak ada golongan yang terpinggir daripada agenda pembangunan negara.
Katanya, kerajaan Madani kekal komited merealisasikan agenda SDG yang bergerak seiring pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menuju pembangunan yang inklusif, mampan dan sejahtera demi masa depan rakyat dan kelestarian bumi.
“Usaha ini menuntut kerjasama semua pihak agar tiada insan yang tersisih daripada arus pembangunan negara.
“Kita berusaha menuju kemajuan yang terangkum, mampan dan sejahtera demi masa depan anak-anak kita dan bumi yang kita cintai,” katanya. – UTUSAN










