Maharani Freeport jangka tarik pelaburan RM144b

Maharani Freeport jangka tarik pelaburan RM144b

SULTAN Ibrahim berkenan melancarkan Maharani Freeport di Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam. – MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Syarikat Maharani Energy Gateway Sdn. Bhd. (MEG) melancarkan Maharani Freeport di Kompleks MEG, Tanjung Emas di sini yang dijangka dapat menarik pelaburan bernilai RM144 bilion.

Pelabuhan bebas cukai berasaskan tenaga pertama di Malaysia itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Maharani Freeport akan bertapak sebagai salah satu prakarsa ekonomi yang strategik bagi negara.

“Terletak di pintu masuk selatan Selat Melaka, pelabuhan bebas ini menempatkan salah satu lokasi maritim yang paling menguntungkan di dunia.

“Setiap tahun, kira-kira 100,000 kapal melalui perairan ini, membawa hampir satu perempat daripada perdagangan minyak laut dunia serta sebahagian besar daripada perdagangan global.

“Dari kedudukan ini, Maharani Freeport berada di lokasi yang sempurna untuk berfungsi sebagai hab pusat bagi pemindahan kargo, logistik dan perdagangan serantau, menghubungkan ekonomi Indo-Pasifik dengan pasaran Timur Tengah dan Eropah,” katanya pada Majlis Pelancaran Maharani Freeport di sini semalam.

Majlis pelancaran pelabuhan itu itu turut dihadiri Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, menyedari potensi Maharani Freeport sebagai pemangkin pembangunan ekonomi tempatan, kerajaan telah meluluskan insentif cukai bagi merangsang pelaburan yang signifikan di Muar.

“Melalui Kementerian Kewangan, insentif ini diberikan kepada pemaju utama serta syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti hab tenaga bersepadu, operasi pelabuhan laut dalam dan perkhidmatan berkaitan perdagangan.

“Selain itu, pakej insentif cukai yang disesuaikan turut disediakan untuk sektor sokongan termasuk pusat data, infrastruktur dan utiliti, teknologi hijau, pelancongan perubatan dan sektor hospitaliti,” ujarnya.

Maharani Freeport telah diwartakan sebagai zon bebas cukai pada 28 November lalu.

Para pelabur Maharani Freeport boleh menikmati insentif menarik seperti pengecualian cukai pendapatan sehingga 15 tahun atau 100 peratus pelepasan cukai pelaburan ke atas aktiviti seperti perdagangan minyak dan gas, penyimpanan dan pencampuran serta perkhidmatan marin seperti pembinaan dan pembaikan kapal.

Pelabuhan laut dalam itu merupakan sebuah inisiatif sepenuhnya yang dibangunkan oleh sektor swasta dan disokong oleh kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Johor.

Diiktiraf sebagai sebuah projek nasional, Maharani Freeport menekankan peranan strategiknya dalam memacu aspirasi jangka panjang Malaysia dalam bidang ekonomi, perdagangan dan tenaga.

Terletak dalam kawasan Pelabuhan Muar di sepanjang Selat Melaka, laluan penghantaran minyak terbesar di dunia, Maharani Freeport meletakkan Malaysia setanding dengan pelabuhan bebas tenaga antarabangsa yang tersohor.

Pengerusi Eksekutif MEG, Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahaman pula berkata, pelancaran tersebut menandakan detik bersejarah untuk Muar, Johor dan Malaysia.

“Maharani Freeport dijangka menghasilkan ratusan syarikat baharu bernilai tinggi dan apabila digabungkan dengan industri sokongan, inisiatif ini diunjurkan mewujudkan sekurang-kurangnya 45,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung.

“Ia turut akan memacu pertumbuhan perniagaan tempatan dalam sektor logistik, pembaikan kapal, pembinaan dan perkhidmatan,” katanya.

Pelan induk Maharani Freeport meliputi 1294.99 hektar tanah tebus guna merentasi tiga pulau buatan dan merangkumi empat komponen utama iaitu Maharani Energy Hub, Maharani Deep Seaport, Maharani Freeport Industrial Park dan Maharani Freeport Financial Hub.

Beliau berkata, Maharani Freeport kini sudah mula beroperasi merangkumi perdagangan minyak, penyimpanan, pemindahan kapal ke kapal, pencampuran serta perkhidmatan lain.

“Perkhidmatan ini merangkumi bunkering, perkhidmatan marin, pelabuhan laut dalam, unit simpanan terapung dan pemindahan kapal ke kapal bagi pelanggan dan rakan kongsi kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, kedalaman semula jadi 24 meter di pelabuhan itu membolehkan kapal Very Large Crude Carriers (VLCC) serta kapal besar lain berlabuh selain menyediakan pilihan yang selamat dan kos efektif kepada pengendali maritim.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk kompleks petrokimia, tenaga boleh diperbaharui, operasi kapal ke kapal, unit simpanan terapung, limbungan pembinaan dan pembaikan kapal serta platform digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan blockchain.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN