PETALING JAYA: Lima kategori pekerjaan utama menyumbang lebih separuh daripada semua iklan jawatan tahun ini di Malaysia iaitu perakaunan, pembuatan, jualan, kejuruteraan dan pentadbiran.
Data dalaman Jobstreet by SEEK bagi separuh pertama 2025 menunjukkan, perakaunan mencatat 12.7 peratus daripada jumlah iklan pekerjaan, diikuti pembuatan, pengangkutan dan logistik (11.2 peratus), jualan (10.3 peratus), kejuruteraan (8.5 peratus) serta pentadbiran dan sokongan pejabat (8.2 peratus).
Secara kolektif, lima kategori ini merangkumi 51 peratus daripada semua iklan jawatan di platform tersebut, menunjukkan tumpuan majikan terarah kepada sektor teras ekonomi.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, dominasi kategori ini mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap graduan dalam bidang teras ekonomi.
Kata beliau, walaupun pekerjaan digital dan teknologi semakin meningkat, kategori pekerjaan tradisional ini tetap kukuh kerana ia menyokong struktur ekonomi yang stabil.
“Permintaan tinggi dalam kategori ini menunjukkan sektor teras ekonomi terus menjadi enjin pertumbuhan, dan bakat yang sesuai sangat diperlukan untuk menampung operasi harian serta pembangunan industri.
“Pertumbuhan sektor pembuatan dan logistik masih menjadi tumpuan disebabkan transformasi rantaian bekalan dan automasi industri, manakala sektor teknologi digital pula berkembang selaras agenda pendigitalan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Analisis itu menandakan bahawa lebih separuh peluang pekerjaan yang diiklankan di Malaysia masih berada dalam bidang tradisional yang kritikal bagi kelancaran operasi harian organisasi, sekaligus menegaskan kepentingan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengalaman dalam sektor-sektor ini.
Lam berkata, permintaan terhadap pekerjaan dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia pula meningkat hampir 25 peratus tahun ini, menandakan lonjakan ketara ke arah ekonomi berasaskan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI).
Lam berkata, peningkatan itu didorong oleh pelaburan digital berskala besar serta inisiatif pendigitalan industri yang rancak dilaksanakan di seluruh negara.
Beliau berkata, kategori ICT kini mencatat antara pertumbuhan tertinggi di platform JobStreet by SEEK, dengan permintaan paling menonjol dalam bidang pembangunan perisian, analitik data, automasi dan AI gunaan.
“Peralihan ini turut disokong oleh pelaburan lebih RM278 bilion dalam infrastruktur digital antara 2021 hingga 2024, sekali gus menjadikan kemahiran digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas untuk kebanyakan sektor,” katanya.
Dalam pada itu, sektor teknologi digital dan IT turut muncul antara tiga industri paling aktif mengambil pekerja, selain pembuatan serta logistik yang kekal sebagai enjin utama pertumbuhan automasi industri dan transformasi rantaian bekalan.
Tambah beliau, peranan baharu seperti jurutera pusat data, pakar keselamatan siber dan penganalisis AI kini semakin mendapat perhatian apabila lebih banyak syarikat beralih kepada automasi dan operasi digital. – UTUSAN










