JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sedang mempertimbang langkah mengehadkan permainan dalam talian selepas seorang pelajar dikaitkan dalam letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Jakarta minggu lalu.
Letupan berlaku di surau kompleks sekolah semasa solat Jumaat, sehingga mencederakan 96 orang.
Pelajar terbabit, yang dilaporkan sering dibuli, didakwa membawa bom buatan sendiri.
Pihak berkuasa menemukan tin soda yang dipercayai sebahagian daripada alat letupan dan senapang gaya airsoft dengan rujukan kepada penembak bersiri terkenal.
Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi mendedahkan, kerajaan merancang mengehadkan permainan dalam talian yang menonjolkan unsur keganasan dan bersenjata.
Prabowo turut berbincang dengan beberapa pegawai termasuk Ketua Polis, Listyo Sigit Prabowo di kediamannya hujung minggu lalu, bagi membincangkan langkah itu.
“Presiden berkata kita perlu mencari penyelesaian terhadap kesan negatif permainan dalam talian. Terdapat kemungkinan ia boleh mempengaruhi anak muda,” kata Prasetyo kepada media selepas pertemuan di Jakarta kelmarin.
Beliau turut merujuk permainan popular PUBG, yang membolehkan pemain mempelajari jenis senjata dan secara langsung menormalisasikan keganasan.
Selain kemungkinan sekatan terhadap permainan dalam talian, kerajaan merancang untuk menghidupkan semula program pengakap Pramuka.
Menurut Prasetyo, langkah itu diharap dapat memupuk semangat perpaduan dan kesedaran sosial.
“Presiden turut menekankan agar guru lebih peka terhadap tingkah laku pelajar di sekolah,” katanya.- AGENSI










