Lebih ramai anak muda digesa ceburi profesion pelaut, elak kebergantungan luar

Lebih ramai anak muda digesa ceburi profesion pelaut, elak kebergantungan luar

CEO Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika menganjurkan bengkel industri, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membangunkan lebih ramai pelaut tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing.

Ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, ia selaras dengan perkara yang dibangkitkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini dimana ramai rakyat Malaysia masih mempunyai tanggapan negatif tentang kerjaya di laut, termasuk perjalanan jauh, hidup terasing dan cuaca mencabar.

Katanya, kerjaya pelaut menawarkan peluang bekerja di peringkat global, gaji baik dan laluan kerjaya jelas.

“Kerjaya pelaut tidak seperti kerja pejabat dari 9 pagi hingga 5 petang. Ia memerlukan syif sepanjang masa dan berada jauh dari rumah selama beberapa bulan.

“Ramai anak muda kini lebih mementingkan keseimbangan kerja dan kehidupan, jadi mereka terlepas pandang manfaat jangka panjang kerjaya ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Loke memaklumkan hampir 40 peratus kru kapal di negara ini terdiri daripada warga asing.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat tempatan menyokong Akademi Laut Malaysia (ALAM) melalui tajaan dan penempatan latihan.

Mengulas lanjut, katanya, pihak industri perlu bekerjasama dengan institusi latihan dan pihak berkuasa pelabuhan untuk mempromosikan kerjaya maritim, termasuk melalui program libat urus, hari terbuka dan penajaan pelajar kadet.

“Kami di Maritime Network menaja program kadet dan latihan industri untuk memastikan mereka mendapat latihan praktikal.

“Kami mahu tunjukkan bahawa kerjaya maritim merupakan laluan kerjaya jangka panjang, bukan sekadar pekerjaan sementara,” katanya.

Setakat ini, Maritime Network telah melatih lebih 120 kadet bagi bidang dek, enjin dan pentadbiran darat.

Daripada jumlah itu, 20 hingga 25 peratus adalah wanita – satu perkembangan positif ke arah keseimbangan gender dalam sektor maritim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN