PETALING JAYA: Seramai 211,360 pelarian yang dikatakan berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kini berada di negara ini.
Bagaimanapun, ramai dalam kalangan mereka diragukan memiliki kad sah UNHCR berikutan tiada rekod atau data mengenai jumlah sebenar pelarian yang memegang kad tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya tidak mempunyai data jumlah sebenar pelarian yang ada di negara ini kerana ramai daripada mereka masuk secara haram dan tiada sebarang dokumen.
Katanya, bagi pelarian yang ada di negara ini, kad UNHCR dikeluarkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Imigresen (JIM) berdepan kesukaran mengenal pasti pelarian sebenar atau individu tersebut sebenarnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut Zakaria, berdasarkan pemeriksaan setakat ini belum ada pelarian dikesan menggunakan kad palsu UNHCR.
“Kita (Jabatan Imigresen) tidak mempunyai data mengenai jumlah pemegang kad UNHCR.
“Selain itu, kita juga tidak melaksanakan sebarang penguatkuasaan terhadap kes pemalsuan kad UNHCR memandangkan ia bukan dokumen rasmi kerajaan Malaysia dan tidak tertakluk kepada undang-undang negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan semakan Utusan Malaysia menerusi laman web rasmi UNHCR, seramai 211,360 pelarian dan pemohon suaka telah berdaftar dengan mereka sehingga akhir Oktober lalu berada di Malaysia.
Daripada jumlah itu, majoriti iaitu 189,760 berasal dari Myanmar termasuk Rohingya diikuti etnik Chin (32,800) dan etnik kumpulan lain (32,827) yang melarikan diri ke negara ini.
Selain itu, seramai 21,600 individu berasal daripada 50 negara lain termasuk Pakistan (5,797), Yaman (3,121), Somalia (2,898), Afghanistan (2,751), Syria (2,509), Sri Lanka (1,061), Palestin (502), Iraq (438), serta lain-lain negara.
Menurut Zakaria lagi, dalam sebarang operasi terhadap pelarian, pihaknya akan merujuk UNHCR sekiranya pelarian terbabit memiliki kad pertumbuhan itu untuk pengesahan, dan berapa lama proses pengesahan dibuat, beliau tidak pula menyatakannya.
Namun, katanya, apa yang pasti pemegang kad UNHCR palsu akan dianggap sebagai PATI dan mereka tertakluk kepada undang-undang negara ini.
“Bagi pemegang kad UNHCR palsu, mereka akan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tertakluk di bawah undang-undang Malaysia, boleh ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka langkah bagi menangani isu lambakan pelarian yang turut berkait rapat dengan aspek keselamatan negara dalam jangka panjang.
“JIM melaksanakan mekanisme pengurusan pelarian sebagaimana yang ditetapkan oleh MKN dan KDN,” katanya.
Pada 2023, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen kad UNHCR digunakan pelarian dari Myanmar, diketuai oleh lelaki warganegara asing.
Ketika serbuan, pasukan operasi berjaya merampas 26 keping kad UNHCR disyaki palsu.
Sindiket itu mengenakan bayaran RM200 hingga RM1,000 kepada pelarian untuk setiap dokumen palsu yang dibuat.
Sindiket menyasarkan warganegara asing yang tidak mempunyai pasport yang sah seperti warganegara Myanmar daripada bangsa Rohingya dan Chin.
Pada 8 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan melaksanakan inisiatif DPP bagi memperoleh data lebih tepat kerana proses perkongsian maklumat dengan UNHCR mengambil masa panjang.
Katanya, KDN dalam proses perolehan dan pelantikan vendor untuk membangunkan sistem berkenaan dengan pejabat imigresen di seluruh negara dijadikan lokasi pendaftaran.
Laporan itu turut menyebut saringan awal terhadap 37,000 individu sudah dimulakan bagi menentukan kelayakan mereka sebagai pemohon suaka. – UTUSAN








