PETALING JAYA: Ketiadaan pusat penempatan khas dan perlindungan menyebabkan pelarian Rohingya tinggal ‘berselerak’ di pelbagai negeri.
Keadaan itu bertambah buruk dengan kelemahan dalam proses saringan dan pendaftaran pelarian oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyebabkan ada juga etnik lain yang menyamar sebagai pelarian Rohingya.
Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Etnik Rohingya Arakan (ERCA), Mohammed Rafique berkata, desakan ekonomi menyebabkan pelarian Rohingya terpaksa bertumpu ke kawasan-kawasan ekonomi.
“Malaysia tidak menyediakan pusat penempatan atau pusat perlindungan khas secara kekal untuk mereka selepas melepasi saringan awal di depot tahanan imigresen. Desakan ekonomi dan ketiadaan sekatan pergerakan memaksa mereka bertumpu ke kawasan tumpuan ekonomi tidak rasmi demi menyara keluarga.
“Terdapat juga kelompok besar yang memasuki negara ini secara haram menggunakan bot dan jalan darat lalu bertindak menyamar sebagai pelarian bagi mendapatkan perlindungan.
“Sindiket penyeludupan dikesan membawa masuk pendatang ekonomi dari Bangladesh dan pelbagai etnik lain dari Myanmar yang tidak terkesan oleh peperangan.
“Kemasukan haram secara besar-besaran sekitar tahun 2012 dan 2013, mengeruhkan keadaan apabila kumpulan pendatang ekonomi ini mengambil kesempatan meniru identiti kami,” katanya kepada Utusan Malaysi.
Katanya, tiada proses penempatan yang sistematik atau terkawal dilakukan selepas seseorang pelarian itu berdaftar.
“Pihak UNHCR gagal melakukan proses penapisan dan pemprofilan etnik dengan betul sekali gus menyebabkan lambakan kad pelarian diberikan kepada pihak yang salah.
“Mereka dilepaskan begitu sahaja ke dalam pasaran tempatan tanpa sebarang pemantauan pergerakan atau penempatan khusus dan menyebabkan penempatan mereka berselerak mengikut rangkaian komuniti masing-masing,” katanya. – UTUSAN










