Lantik ramai pesuruhjaya kehakiman atasi kes tertunggak

Lantik ramai pesuruhjaya kehakiman atasi kes tertunggak

WAN AHMAD FARID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lebih ramai pesuruhjaya kehakiman akan dilantik bagi membantu me­ngu­rangkan beban tunggakan kes mahkamah yang semakin tinggi di seluruh negara pada masa ini.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, meskipun langkah itu dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek, namun, inisiatif berkenaan tetap dilihat mampu memberi kelegaan kepada warga mahkamah terutamanya hakim.

Beliau mengakui, melantik pesuruhjaya kehakiman tidak ubah seperti usaha untuk memadam kebakaran atau ‘firefigh­ting’ sahaja. Oleh itu katanya, penyelesaian jangka panjang juga telah mula diatur ketika ini.

“Di Johor Bahru sebagai contoh, ada seorang hakim terpaksa mengendalikan sehingga 800 kes, iaitu sesuatu yang mustahil secara manusiawi kerana beban (kes) biasa bagi seorang hakim itu antara 200 hingga 250 kes sahaja.

“Jadi, kami menyedari isu ini dan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menangani­nya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, semalam.

Wan Ahmad Farid berkata, di Sabah dan Sarawak ketika ini juga sudah ada sesi bulanan persidangan yang sama iaitu di Kuching dan Kota Kinabalu, namun, perluasan lokasi masih dalam perancangan.

“Kami akan pergi ke kawasan luar bandar. Di Sarawak, Miri sedang dipertimbangkan. Di Sa­bah pula, Sandakan antara lokasi yang dilihat sesuai. Ini adalah sebahagian usaha meningkatkan akses kepada keadilan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan beliau Wan Ahmad Farid berkata, persidangan Mahkamah Rayuan secara litar di Pulau Pinang secara tidak langsung membuka akses yang lebih luas kepada rakyat khususnya yang berada di zon utara.

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan akses rakyat kepada sistem kehakiman selaras dengan aspirasi yang digariskan sejak beliau dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Julai lalu.

“Syukur, Alhamdulillah. Has­rat badan kehakiman untuk menghidupkan semula Mahkamah Ra­yuan secara litar kini menjadi kenyataan dan buat julung kalinya setelah sekian lama, Mahkamah Rayuan kini akan bersidang di lokasi lain selain Putrajaya,” ujar­nya.

Tambah beliau, dengan ada­nya persidangan seperti itu di Pulau Pinang, para peguam serta litigan di utara Semenanjung tidak perlu lagi ke Putrajaya untuk menghadiri pendengaran rayuan sekali gus mendekatkan keadilan kepada rakyat.

“Kewujudan mahkamah ini secara tidak langsung juga melambangkan komitmen yang serius oleh badan kehakiman dalam menegakkan kedaulatan undang-undang serta mengurangkan kelewatan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN