Laksana perlombongan REE guna kaedah EKM

Laksana perlombongan REE guna kaedah EKM

AHMAD AMZAD HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Malaysia wajar mempertimbang penggunaan kaedah elektrokinetik (EKM) untuk melaksanakan per­lombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Sim­pan Kekal (HSK) jika ia terbukti paling selamat dan lestari.

Pengerusi Jawatankuasa Pi­lihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, negara ini perlu mengambil langkah paling praktikal untuk membangunkan industri berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM800 bilion memandangkan sumbernya banyak berada di kawasan HSK.

Katanya, projek rintis di Kenering, Perak menggunakan kaedah in-situ leaching yang sudah tiga tahun dilaksanakan terbukti berjaya tanpa menjejaskan ekosistem hutan dan dijadikan prosedur operasi stan­dard (SOP) untuk diikuti perlombongan nadir bumi.

“Begitu juga kaedah lestari yang lebih baharu dan maju dibangunkan misalnya EKM. Teknologi sebegini jika terbukti sepatutnya boleh dijadikan tanda aras dalam memastikan kesan paling minimum kepada hutan dan alam sekitar dalam mengusahakan nadir bumi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, EKM adalah antara pendekatan paling selamat dan lestari untuk melaksanakan perlom­bongan REE di kawasan HSK sekali gus mampu me­ngu­rangkan risiko kerosakan ekosistem secara drastik.

Ia jauh lebih mesra alam berbanding perlombongan konvensional yang lazimnya melibatkan penarahan bukit dan pengorekan tanah secara terbuka serta berisiko tinggi terhadap biodiversiti dan sistem hidrologi kawasan hutan.

Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer dilaporkan berkata, ada dua kaedah yang tidak mengubah ekosistem HSK secara drastik berbanding perlombo­ngan konvensional iaitu EKM dan in-situ leaching.

Ahmad Amzad berkata, kebimbangan masyarakat awam tentang kesan terhadap alam sekitar khususnya HSK ekoran daripada kegiatan perlombongan nadir bumi boleh difahami kerana
mempunyai pengalaman berdepan kegiatan perlombongan yang tidak lestari.

Sebab itu, kata beliau, kebenaran melakukan aktiviti perlombongan REE tidak dibuat secara terburu-buru.

Berhubung syor mekanisme nyah-senarai sementara HSK, beliau berkata, apa yang dimaksudkan adalah kebenaran jangka pendek untuk mengeluarkan nadir bumi tanpa memusnahkan hutan dan tiada penebangan pokok-pokok utama secara besar-besaran.

Katanya, jika dilihat pada projek perintis yang telah selesai, ia cuma dalam tempoh dua tahun untuk kawasan seluas 200 ekar dan selepas itu hutan tersebut boleh dikembalikan statusnya.

“Saya pernah bertanya kepada Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains apakah isu sebenar yang menyebabkan negeri-negeri belum boleh mengusahakan sumber nadir bumi yang ada. Saya dimaklumkan kerana banyak kawasan yang dikenal pasti adalah berada dalam kawasan hutan simpan.

“Sebab itu kita kena fikirkan apa langkah paling praktikal untuk menangani masalah ini. Tiada apa yang percuma dalam dunia ini. Kita usahakan petroleum, bijih timah, besi dan alumina supaya menjadi sumber pendapatan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat. Memang setiap satu ada kesannya. Kita kena usahakan cari jalan yang paling lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN