Tidak perlu nyah senarai hutan simpan untuk lombong nadir bumi

Tidak perlu nyah senarai hutan simpan untuk lombong nadir bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk menyahwartakan atau mengeluarkan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) semata-mata untuk tujuan perlombongan unsur nadir bumi (REE), sebaliknya aktiviti itu masih boleh dijalankan dalam kawasan hutan sedia ada dengan kawalan ketat.

Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, sebaliknya langkah tersebut boleh dilakukan dengan kerajaan meminda Akta Perhutanan Negara 1984 bagi memasukkan REE sebagai salah satu hasil hutan yang sah di bawah undang-undang.

“Saya berkeyakinan bahawa tidak perlu menyahwartakan HSK untuk tujuan perlombongan REE kerana aktiviti itu boleh dijalankan dalam kawasan hutan sedia ada.

“Cuma kerajaan perlu meminda Akta Perhutanan Negara untuk mengiktiraf REE sebagai hasil hutan supaya aktiviti perlombongan itu dapat dijalankan secara sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hafizudin turut memberi amaran bahawa menyahwartakan kawasan HSK boleh membawa kesan jangka panjang yang serius, termasuk kehilangan status perlindungan hutan secara kekal.

“Pengalaman sebelum ini me­nunjukkan, apabila hutan simpan dinyahwartakan, amat sukar untuk diwartakan semula.

“Akhirnya kawasan itu akan terdedah kepada aktiviti lain seperti pembalakan, perlombongan emas dan perladangan yang boleh memusnahkan hutan sepenuhnya,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia mempunyai sumber nadir bumi (REE) yang banyak, tetapi usaha melombongnya berhadapan dengan laluan sukar sebab sebahagian besar bahan galian itu berada di kawasan HSK.

Jika kerajaan mengambil ke­pu­tusan untuk memanfaatkan sumber galian itu, maka hutan simpan terbabit perlu dinyahsenaraikan terlebih dahulu, se­kurang-kurang untuk tempoh sementara bagi membuka jalan kepada kerja-kerja melombong.

Menurut Hafizudin, tidak semua kawasan HSK dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar, malah ada kawasan yang boleh diteroka secara terkawal menggunakan teknik in-situ leaching (ISL) ia­itu kaedah suntikan bahan kimia bagi mengekstrak mineral tanpa penebangan besar-besaran.

“Teknik ISL tidak melibatkan pembukaan hutan secara besar-besaran. Cuma akan ada sedikit kawasan dibuka untuk laluan lori dan jentera, tetapi tidak sampai memusnahkan hutan secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN