Kerajaan wajibkan pengisytiharan harta pegawai tertinggi, ahli Lembaga Pengarah

Kerajaan wajibkan pengisytiharan harta pegawai tertinggi, ahli Lembaga Pengarah

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), termasuk lantikan politik, kini diwajibkan mengisytihar harta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kewajipan itu bertujuan memperkukuh integriti dalam tadbir urus syarikat, selaras dengan Garis Panduan Tadbir Urus Ahli Lembaga Pengarah Syarikat MKD Tahun 2024.

“Perisytiharan harta perlu dibuat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun, dikira berdasarkan tarikh terakhir perisytiharan terdahulu.

“Sekiranya dalam tempoh tersebut seseorang pegawai tidak memperoleh atau melupuskan sebarang harta, pegawai berkenaan masih wajib dan tetap perlu membuat pengakuan.

“Kegagalan untuk membuat perisytiharan harta boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya ketika menjawab soalan V. Ganabatirau Veraman (PH-Klang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Zaliha, semua pegawai awam juga perlu mengisytiharkan harta melalui Sistem HRMIS dengan pemantauan berkala oleh Unit Integriti setiap enam bulan.

“Sekiranya didapati terdapat pemilikan harta yang mencurigakan atau tidak sepadan dengan sumber pendapatan pegawai, perkara tersebut akan dirujuk untuk siasatan,” katanya.

Tambahnya, pendekatan serupa turut dilaksanakan terhadap syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pegawai awam di bawah Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, katanya, pengisytiharan harta perlu dilaksanakan mengikut peraturan-peraturan yang diwujudkan di peringkat masing-masing.

“Langkah menyeluruh ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus dalam perkhidmatan awam serta entiti milik kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN