KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju berkenaan cadangan untuk menaikkan had maksimum penggunaan petrol bersubsidi di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dipertimbangkan selepas kerajaan menerima maklum balas daripada pemandu e-hailing yang mendapati jumlah semasa masih belum mencukupi untuk menampung kos operasi harian mereka.
“Kerajaan sedang menilai semula keperluan bagi meningkatkan siling penggunaan bagi pemandu e-hailing yang layak.
“Ini berikutan ada antara mereka memaklumkan bahawa 600 liter masih tidak mencukupi untuk menampung perjalanan dan perbelanjaan bahan api,” katanya kepada Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan data dan rekod penggunaan sebenar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Anwar berkata, sebelum ini kerajaan sudah meningkatkan had subsidi bagi pemandu e-hailing aktif daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan, membabitkan seramai 58,000 pemandu aktif yang layak di seluruh negara.
“Kalau benar ada keperluan dan penggunaan mereka terbukti melebihi had ditetapkan, kerajaan bersedia mempertimbangkan peningkatan siling sehingga 800 liter bagi pemandu e-hailing yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, purata bagi penggunaan petrol RON95 melalui BUDI95 bagi setiap pengguna biasa adalah 98 liter sahaja sepanjang Oktober lalu.
Katanya, angka itu hanya mewakili 33 peratus daripada had bulanan 300 liter yang ditetapkan, menunjukkan sebahagian besar penerima tidak menggunakan sepenuhnya kuota subsidi yang disediakan.
“Adakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja, iaitu 33 peratus daripada kelayakan. Mereka yang membelanjakan lebih 300 liter hanya 0.7 peratus sahaja,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan BUDI95 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak tanpa ketirisan kepada pengguna berpendapatan tinggi.
“Data awal ini menunjukkan pendekatan bersasar kerajaan membuahkan hasil positif. Subsidi sampai kepada kumpulan sasaran, dan penggunaan yang sederhana membuktikan tiada pembaziran dalam pelaksanaan program ini,” katanya. – UTUSAN










