KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui pasukan khas multi-agensi (MATF) berjaya memulihkan ketirisan, rasuah dan penyeludupan bernilai RM15.5 bilion untuk tempoh dua tahun dari 2023 hingga 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan pengumpulan nilai lucut hak melebihi RM8 bilion hasil tindakan terhadap sindiket penyeludupan dan penipuan.
Katanya, jumlah itu merangkumi perampasan dan pemulihan daripada dana haram termasuk wang tunai, tanah, saham syarikat, bangunan dan pelbagai aset lain yang dikembalikan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF).
“Usaha pemulihan ini dijalankan melalui operasi bersepadu oleh beberapa agensi penguatkuasaan di bawah pasukan petugas khas pelbagai agensi yang ditubuhkan dengan mandat penuh tanpa kompromi terhadap penyeludup dan penipu.
“Bayangkan tahap ketirisan itu. Kita berjuang secara terbuka di sini sementara ada yang membuat bising di belakang tabir, namun kita tetap membiarkannya berlaku. Ramai daripada pentadbiran terdahulu terlibat,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti yang diperoleh oleh semua agensi penguatkuasa kerajaan serta langkah-langkah yang diambil dalam memperkukuh usaha membanteras ketirisan hasil.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga berjaya merampas hasil penyitaan hampir RM4 bilion sementara Kastam Diraja Malaysia menumpaskan sindiket haram dan penyeludupan dengan nilai rampasan sebanyak RM2.5 bilion.
Selain itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKS) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia pula mengutip penalti sebanyak RM1 bilion.
“Pasukan petugas daripada pelbagai agensi telah bekerja keras. Namun, kita harus faham mengapa perkara ini dibenarkan berlaku bertahun-tahun.
“Perbezaannya sekarang ialah kerajaan telah memberi kuasa kepada badan penguatkuasaan untuk bertindak dengan berani dan tegas dan kita harus memberi penghargaan kepada agensi-agensi ini kerana mereka telah menunjukkan ketegasan dan keberanian,” katanya.
Menurut Anwar, langkah keselamatan baharu turut diperkenalkan bagi memperkukuh penguatkuasaan termasuk penggunaan cap cukai digital, kompleks saringan berpusat, kamera badan dan mesin pengimbas kargo.
Katanya, ia bertujuan menangani penyeludupan berterusan termasuk e-waste dan barangan lain menerusi kontena yang telah dibenarkan berlaku oleh pihak tertentu selama bertahun-tahun.
“Kerajaan tidak akan membiarkan ketirisan berterusan berlaku dan semua tindakan diambil dengan keberanian dan ketegasan agensi penguatkuasa meskipun berdepan risiko keselamatan disebabkan kumpulan kongsi gelap, gangster dan sindiket berpengaruh,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memperoleh semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggarkan melebihi RM1 bilion menerusi proses pemulihan yang giat dijalankan khususnya di luar negara.
Katanya, pihaknya akan terus memfokuskan kepada usaha memulihkan aset 1MDB termasuk melalui kerjasama dengan pihak antarabangsa.
“1MDB ini pada peringkat akhir, masih ada kemasukan (pemulangan semula dana) baru-baru ini. Saya tak dapat teka berapa jumlahnya tetapi ia mencecah RM1 bilion tambahan daripada jumlah dulu.
“Prosesnya masih diteruskan di Switzerland, London dan ada jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan,” katanya. – UTUSAN










