PETALING JAYA: Jurang besar pampasan diberikan oleh mahkamah kepada keluarga dua mangsa kehilangan paksa, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh patut dipersoalkan dan disifatkan mencabar prinsip keadilan serta kesaksamaan undang-undang negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, walaupun kedua-dua kes telah diputuskan Mahkamah Tinggi dengan dapatan bahawa pihak keselamatan negara gagal melindungi mangsa, jumlah pampasan yang diberikan ketara berbeza apabila keluarga Amri menerima sekitar RM3.26 juta, manakala keluarga Pastor Koh memperoleh lebih RM37 juta dengan bayaran berterusan.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan asas terhadap prinsip ‘rule of law’ dan nilai nyawa rakyat yang sepatutnya tidak boleh diukur berdasarkan agama, latar belakang atau status sosial seseorang.
“Prinsip keadilan mesti bersifat tanpa kelas. Nilai nyawa rakyat tidak boleh diukur berdasarkan siapa mereka atau sejauh mana perhatian media diberikan kepada kes tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jais berkata, jurang pampasan sedemikian boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara selain menimbulkan persepsi bahawa keadilan di Malaysia boleh ditafsir mengikut latar belakang individu.
Katanya, mahkamah sendiri telah mengesahkan kegagalan pihak keselamatan melaksanakan tanggungjawab melindungi rakyat dalam kedua-dua kes berkenaan, sekali gus mencerminkan kelemahan tadbir urus dan mekanisme akauntabiliti yang perlu diperbaiki segera.
“Kegagalan menangani isu kehilangan paksa secara adil akan menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa dan menggugat keyakinan pelabur terhadap kestabilan sistem keadilan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan semakan bagi menyelaraskan kadar pampasan kepada keluarga Amri berdasarkan prinsip keadilan yang sama seperti dalam kes Pastor Koh.
Selain itu, badan tersebut mencadangkan Kerajaan Persekutuan menubuhkan mekanisme pencegahan kehilangan paksa serta memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah dipantau secara bebas dan telus.
“Parlimen juga disaran mewujudkan garis panduan pampasan nasional supaya kes serupa pada masa depan tidak lagi menimbulkan jurang nilai nyawa rakyat,” katanya.
Tambahnya, isu berkenaan bukan soal agama atau kelompok, tetapi cerminan integriti negara dalam menjunjung undang-undang.
“Jika jurang pampasan ini dibiarkan, Malaysia sedang menghantar mesej bahawa nilai nyawa rakyat boleh berubah mengikut identiti.
“Ia bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan, malah mengkhianati semangat keadilan yang menjadi asas negara,” katanya.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri pada 24 November 2016, serta mengarahkan pembayaran ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 kepada isterinya, Norhayati Mohd. Ariffin.
Dalam keputusan berasingan, Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi kira-kira RM31 juta kepada keluarga Raymond selepas mendapati kedua-dua pihak terbabit dalam penculikannya lapan tahun lalu. – UTUSAN










