Siasatan semula kes kehilangan Amri, Pastor Koh diketuai pegawai berpangkat ACP

Siasatan semula kes kehilangan Amri, Pastor Koh diketuai pegawai berpangkat ACP

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan semula kes kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh sedang dijalankan oleh Pasukan Penyiasat Khas diketuai seorang pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan itu akan meneliti semula semua dokumen dan bahan berkaitan termasuk laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), laporan Pasukan Petugas Khas serta mendapatkan keterangan baharu sebagai sebahagian daripada proses menyeluruh mencari kebenaran dalam kedua-dua kes itu.

“Kerana arahan mahkamah ialah meminta polis untuk menyiasat, kerajaan ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang. Pihak polis segera menubuhkan pasukan penyiasat walaupun siasatan sebelum ini tidak pernah ditutup, tetapi kali ini akan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat ACP.

“Sekarang sudah pun bermula dan mereka akan teliti semua kertas siasatan awal, laporan Suhakam, laporan pasukan petugas khas dan mereka akan mendapatkan keterangan baharu.

“Pasukan ini akan melaporkan perkembangan siasatan kepada Peguam Negara setiap dua bulan. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan mencari kebenaran dan menegakkan keadilan serta memastikan siasatan dibuat tanpa sebarang niat melindungi mana-mana pihak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Leadang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan langkah seterusnya diambil kerajaan berhubung keputusan mahkamah mengaitkan Amri dan Pastor Koh.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, pihaknya memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan arahan mahkamah dalam kes kehilangan Amri dan Pastor Koh termasuk membuka semula siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, fokus ketika ini adalah kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggariskan dua perkara penting kepada pihak polis, malah beliau sudah mendengar taklimat Jabatan Peguam Negara berhubung kes tersebut.

Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Pastor Koh pula pada 13 Februari 2017.
Dalam keputusan pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan PDRM gagal menjalankan siasatan sewajarnya dalam kes kehilangan Amri dan memerintahkan pampasan RM3.3 juta dibayar kepada isterinya.

Bagi kes Pastor Koh, mahkamah turut memutuskan kerajaan gagal menjalankan siasatan sewajarnya dan mengarahkan pampasan RM37 juta dibayar, selain polis diarahkan melaporkan perkembangan siasatan setiap dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN