Kellie’s Castle tidak lagi menyeramkan

Kellie’s Castle tidak lagi menyeramkan

PENGUNJUNG melawat Kellie’s Castle yang diterangi lampu solar pada waktu malam. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Bangunan Kellie’s Castle di sini kini dibuka kepada pengunjung pada waktu malam selepas pengurusan baharu memasang lampu solar di sekitar kawasan lokasi tumpuan pelancong itu.

Langkah itu juga antara usa­ha untuk mengubah persepsi masyarakat yang sekian lama mengaitkan bangunan itu de­ngan kisah seram.

Ketua Pegawai Eksekutif Fest Imperio Sdn. Bhd. (FiSB), Mohd. Tsabit Abu Bakar berkata, pencahayaan malam di bangunan itu antara langkah mengembalikan identiti asal Kellie’s Castle sebagai monumen lambang cinta dan warisan seni bina.

Menurutnya, konsep pencahayaan baharu itu diinspirasikan daripada Colosseum di Rom yang menggunakan lampu sebagai elemen penghidup struktur bersejarah pada waktu malam.

“Kellie’s Castle selama ini terperangkap dalam naratif mistik sedangkan fakta sejarah me­nunjukkan bangunan itu dibina oleh William Kellie Smith sebagai tanda kasih kepada isteri­nya, Agnes.

“Sudah lama bangunan ini dikaitkan dengan unsur seram. Hakikatnya, ia adalah projek cinta yang tidak sempat di­siapkan.

“Kami mahu hentikan ‘label seram’ ini. Bangunan ini dibina atas dasar cinta. Itu yang sepatutnya diketengahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, pemasangan lampu solar di sepanjang laluan pejalan kaki menjadikan kawasan tersebut lebih selamat dan mesra pengunjung sehingga waktu malam.

“Operasi classic tram turut dilanjutkan ke bahagian belakang istana yang membolehkan pelwat melihat keseluruhan struktur dalam keadaan terang dan teratur,” katanya.

Beliau berkata, sejak lawatan pada waktu malam diperkenalkan pada bulan April lalu, jumlah pengunjung menunjukkan peningkatan ketara.

“Sebelum ini, purata bulanan sekitar 12,000 orang. Selepas pembukaan malam, angka itu meningkat kepada 16,000 hingga 17,000 pengunjung sebulan.

“Peningkatan lebih ketara berlaku pada cuti umum dan hujung minggu apabila jumlah kemasukan harian boleh mencecah lebih 1,500 orang,” katanya.

Selain pencahayaan, FiSB turut membangunkan tarikan baharu seperti Mother’s Farm sebagai pelengkap kepada kunjungan keluarga, selain merancang perluasan kawasan pelancongan.

Katanya, FiSB juga sedang merangka pelan jangka panjang untuk menjadikan Kellie’s Castle sebagai destinasi pelancongan sejarah utama di Perak dengan fokus kepada warisan, seni bina dan kisah pembinaannya.

“Dengan penjenamaan semula yang sedang dilaksanakan, Kellie’s Castle dijangka keluar daripada imej seram yang lama melekat.

“Bangunan ini akan kembali dikenali sebagai monumen sejarah yang dibina atas dasar cinta serta dedikasi seorang suami kepada isterinya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×